5.28.2011

Pelukis Kata dan Pelukis Gambar

Salam sejahtera.

Semoga hari ini semua orang sihat dan sejahtera.

Apa kata kalau saya kongsikan satu lagi petua untuk menulis buku untuk kanak-kanak. Mungkin juga petua-petua ini boleh digunakan untuk buku dewasa.

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita mesti mengetahui dua istilah iaitu pelukis gambar dan pelukis kata. Pelukis gambar saya takrifkan sebagai pelukis-pelukis samada pelukis tradisional atau pelukis grafik.

Pelukis kata ialah pelukis yang melukis apa yang dicapai oleh pancaindera dengan menggunakan kata-kata. Nama lain untuk pelukis kata ialah penulis. Jadi, penulis ialah seorang pelukis tetapi seseorang yang melukis dengan menggunakan kata-kata.Boleh faham tak? Harap-harap ianya tidak terlalu tinggi ya.

Apabila kalian sudah faham istilah pelukis kata, bolehlah terus membaca tulisan ini. Pelukis gambar menggunakan titik-titik dan garis-garis, nipis atau tebal, dan warna-warna untuk mengekspresikan apa yang dicapai oleh pancainderanya.

Jadi, perkara yang serupa digunapakai oleh pelukis kata (penulis). Kalau pelukis gambar menggunakan titik,garis,dan warna, pelukis kata(penulis) menggunakan kata-kata untuk mengekspresikan apa yang dicapai oleh pancainderanya.

Nampaknya macam dah berbelit-belit sahaja.Baiklah, saya berikan satu contoh. Kalau pelukis gambar hendak melukis seekor burung yang terbang, dia akan lukiskan sahaja gambar itu. Orang yang melihat pemandangan itu tahu burung itu sedang terbang.

Tapi, bagaimana pelukis kata hendak melukiskan gambar burung yang sedang terbang dengan menggunakan kata-kata?

"Burung yang berwarna merah kuning itu membuka sayapnya. Perlahan-lahan dia mengepakkannya. Semakin lama semakin laju. Kakinya mula terangkat daripada dahan pokok manggis itu dan dirapatkan ke dadanya."

Nampak tak? Pelukis kata cuba untuk melukis gambar burung yang sedang terbang.

Pelukis gambar yang baik ialah pelukis gambar yang mahir menggunakan garis-garis dan titik serta warna. Pelukis kata (penulis) yang baik pula ialah pelukis kata(penulis) yang mahir menggunakan kata-kata.

Adakah kemahiran itu datang dengan percuma? Maaf ya. Ianya tidak datang dengan percuma. Saya sehingga sekarang masih lagi belajar. Oh ya, bagaimana cara hendak memahirkan diri ya? Di bawah ini saya senaraikan kerja yang kalian mesti buat untuk mahir di dalam aktiviti melukis gambar dengan kata-kata.

Katakanlah kita hendak melukis dengan kata-kata (menulis) tentang orang yang cantik.

1. Cari karya-karya hebat di dalam bahasa Melayu dalam sepuluh buah ke atas dari pelbagai zaman.

2. Kemudian cari di dalam karya itu bagaimana mereka melukiskan tentang orang yang cantik.

3. Pilih ungkapan-ungkapan yang kita rasa sedap dibaca.

4. Cuba hafal ungkapan-ungkapan itu.

5. Pejam mata dan cuba tulis semula.

6. Kadang-kadang dengan menggabungkan ungkapan-ungkapan daripada beberapa buah buku akan menjadikan ungkapan kita lebih sedap didengar.

Bagaimana pula kalau tidak ada karya yang dapat dirujuk? Kita boleh mengambil gambar dan menjadikannya sebagai rujukan.

Seperkara lagi, kita mestilah mempunyai Tesaurus bahasa Melayu yang baik di tangan untuk menulis. Di Malaysia, Tesaurus Bahasa Melayu tulisan Puan Ainon Mohd menjadi rujukan saya.

Sekian. Semoga petua ini sangat berguna kepada kalian semua. Kongsikanlah petua ini dengan semua orang. Semoga lebih ramai pelukis kata (penulis) buku kanak-kanak akan lahir di Malaysia yang kita sayang ini.

Jumpa lagi,
Aliff Danial

5.27.2011

Teori Senibahasa

Salam sejahtera.

Siang tadi ada bengkel statistik. Bengkel itu memenatkan tetapi saya sangat gembira dengan teman-teman yang menggembirakan. Pelikkan. Kepenatan akan hilang bila mana teman-teman di sekeliling kita membahagiakan.

Oh ya hari ini saya ingin kongsikan petua penulisan buku. Petua kali ini ialah bagaimana hendak menghasilkan bunga-bunga bahasa yang baik. Kalau pokok ada bunga yang cantik, pokok itu nampak lebih berseri. Tambah pula kalau bunga itu harum dan wangi. Tentu sahaja geram hendak disunting, kan.

Sebagai bekalan saya menulis, saya banyak membaca puisi-puisi, syair-syair seperti Syair Siti Zubaidah, pantun-pantun, seloka dan gurindam. Biarlah saya panggil kesemua ini sebagai senibahasa.

Saya percaya, dengan banyak membaca dan menghayati senibahasa-senibahasa ini, ianya dapat membantu kita mengasah bakat penulisan.

Baiklah setakat ini sahaja. Lain kali saya menulis lagi.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

5.26.2011

Jangan Biarkan Otak Bergerak Sesuka Otaknya!

Salam sejahtera.

Seperti biasa hari-hari saya sibuk dengan memikir, membaca dan menulis. Kadang-kadang isteri saya pun tertanya-tanya, samada saya tidak penat dengan semua aktiviti itu?

Sebenarnya saya tidak merasa penat. Malah saya sangat sukakannya. Kadang-kadang rehat saya ialah dengan menulis dan membaca.

Cuma satu sahaja yang paling memenatkan. Berfikir. Memikir sesuatu adalah sangat memenatkan. Jiwa dan raga. Sebab apa pula? Sebab apabila saya sudah mula memikirkan sesuatu, otak saya akan terus berputar dan berpusing.

Otak saya sekarang sudah pandai. Ia sudah boleh berfikir sendiri sekalipun saya tidak menyuruhnya. Kadang-kadang saya terpaksa mengawal otak saya supaya ia tidak berfikir sesuka hati. Cara-cara untuk mengawal otak supaya tidak berfikir sesuka otak ialah dengan memastikan otak mematuhi waktu berfikir.

Saya mendapat idea ini ialah sewaktu saya sedang tidur. Saya bermimpi supaya menyuruh otak saya bekerja di dalam waktunya. Jadi sekarang saya mengarahkan otak saya berfikir mengikut waktu. Sekarang otak saya sedang cuba mematuhi peraturan ini tetapi kadang-kadang ia terlupa.

Bagaimana cara untuk memastikan otak mematuhi waktu bekerja? Caranya ialah dengan mengalihkan tumpuan otak supaya berfikir tentang hal-hal yang lain. Contohnya ialah, katakan pukul 3 petang sehingga 4 petang ialah waktu untuk otak memerah dirinya mencari plot-plot cerita.

Apabila tiba pukul 4 satu minit, dengan segera alihkan perhatian otak kepada sebagai contoh memikirkan bagaimana kelopak bunga jatuh ke tanah.Suka hatilah untuk suruh dia fikirkan tentang apa. Yang penting dia mesti hentikan kegiatannnya berfikir untuk membuat plot.

Kita mestilah melatih otak kita untuk berbuat begini sehingga beberapa lama. Lama-kelamaan barulah otak biasa bekerja mengikut waktu.

Kalian tahukan, apabila kita membiarkan otak bekerja sesuka otaknya, ianya sangat merbahaya! Sebab apa? Sebab kita akan hilang fokus. Sehinggakan orang yang melihat kita akan berkata "Jauhnya termenung!"

Apa kebaikan kita melatih otak supaya jangan bekerja sesuka otaknya? Kita akan dapat membuat lebih banyak pekerjaan dan kita akan lebih mantap! JAdi, kalian jomlah kita melatih otak kita supaya bekerja di bawah arahan kita. Jangan biarkan otak kita bekerja sesuka otaknya!


yang benar,
Aliff Danial

5.25.2011

Penulisan Menggunakan Teori Pokok

Salam sejahtera.

Menulis ceritera yang boleh dianggap sebagai sastera memang agak memenatkan. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dari segala segi mesti dipertimbangkan. Di sini saya kongsikan kaedah yang saya gunakan untuk menulis cerita kanak-kanak.

1. Saya mesti lukiskan petra di mana peristiwa itu berlaku.
2. Kemudian semua watak-watak itu juga mesti dilukis.
3. Setelah watak-watak itu dilukis, sifat-sifat dan karakter mereka harus didefinisikan.
4. Jalan cerita pokok mesti dibuat.
5. Kemudian, jalan cerita cabang pula dibuat.
6. Saya menggunakan kaedah gambarajah pokok. (Maklumlah saya orang matematikkan)
7. Ini bermakna ada banyak kesudahan cerita. (Saya namakan sebagai set kesudahan)
8. Setelah beberapa kesudahan cerita dibuat, saya akan memilih mengikut kesedapan rasa.
9. Kemudian saya mula menulis.
10. Tujuan utama sekarang ialah menyiapkan skrip dahulu.
11. Apabila skrip dasar sudah siap, proses pembubuhan daun dijalankan.
12. Setelah daun dibubuh, bunga bahasa pula dicambahkan. (Banyak sangat bunga tak cantik juga, sedikit sangat pun tak sedap pula - Optimumkan ya!)
13. Kemudian, biarkan dahulu dalam seminggu dua.
14. Selepas itu bolehlah dilakukan pemerasaan buah. (Maknanya pengeditan semula)
15. Kadang cerita rasa bosan atau tawar atau manis dan sebagainya.(Edit lagi dan lagi)
16. Bolehlah dihantarkan kepada penerbit untuk dinilai.(proofreading)

Itulah langkah-langkah yang saya selalu ambil untuk menyiapkan sesebuah cerita. Memang memenatkan. Tetapi, bila sudah siap, Alhamdulillah. Boleh tidur dengan lena. Kalau kalian hendak mencuba menulis cerita, bolehlah gunakan tips-tips ini. Saya namakan kaedah ini sebagai "Teori Pokok". Mungkin penulis-penulis lain ada kaedah masing-masing.

Tetapi, kaedah-kaedah ini sahaja tidak cukup kerana saya juga menggunakan teori-teori psikologi dan teori penulisan buku kanak-kanak. Kalau saya ada masa, saya akan kongsikan lagi bersama kalian.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

5.24.2011

Apa perkembangan terbaru Aliff Danial

Salam sejahtera. Selamat bertemu kembali. Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Sekarang saya sangat sibuk. Ada banyak projek yang sedang saya usahakan. Antara projek yang terkini ialah cuba untuk menyiapkan manuskrip

1. Puteri Merah Jambu.
2. Tiket Dunia Ajaib Untuk Putera Haziq.

Untuk makluman kalian, saya akan siapkan ebook Puteri Merah Jambu dan lengkap berilustrasi dalam fail berformat pdf. Dengan izin Allah ya. Saya berhajat hendak berikan percuma ebook Puteri Merah Jambu. Doakanlah semoga ebuku Puteri Merah Jambu akan siap dengan cepat ya.

Apakah sinopsis cerita-cerita itu? Setakat ini biarlah rahsia dulu ya. Oh ya terlupa nak beritahu, sekarang saya sudah hantarkan manuskrip Putera Fariri dan Donut Puteri Salsabila kepada PTSone. Moga-mogalah manuskrip itu diterima dan dapat diterbitkan di dalam tahun 2011. Doakan untuk saya ya.


yang benar,
Aliff Danial

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial