6.30.2011

Komik-M terbaik!



Salam Sejahtera.


Tuan, saya sering ditanya tentang pekerjaan saya. Apakah pekerjaan saya selain daripada menulis buku dan blog?

Tuan, saya mempunyai satu pekerjaan tetap iaitu sebagai pengkaji. Saya mengkaji matematik untuk kewangan Islam dan ekonomi Islam. Saya sedang membangunkan formula-formula matematik yang sesuai untuk menyokong perkembangan sistem kewangan Islam yang sedang maju dengan pesatnya.

Tuan, pekerjaan ini sungguh memenatkan. Banyak perkara yang saya perlu faham dan berjuta-juta lagi yang saya belum dapat memahaminya. Doakanlah semoga saya dapat menemukan banyak formula-formula untuk pembangunan kewangan dan ekonomi yang berlandaskan Islam.

Tentu ada yang bertanya lagi. Adakah saya mempunyai cukup masa untuk membuat kajian di samping menulis? Bukankah menulis buku mengganggu pekerjaan utama Aliff Danial?Tuan, bolehkah saya bertanya kembali? Di antara menulis buku dan menonton TV, yang mana lebih mengganggu pekerjaan? Ya, itulah jawapannya.

Baiklah, mari kita kembali kepada cerita Komik-M. Seingat saya, sewaktu saya masih kecil, saya suka membaca komik. Selalunya saya tidak membeli komik-komik tersebut kerana ianya agak mahal. Ketika itu, seringgit pun sudah terasa mahal. Inikan pula lima enam ringgit. Tetapi, sekarang ini seratus pun seperti sepuluh ringgit sahaja. Inilah kesan inflasi, tuan-tuan.

Saya masih ingat lagi komik-komik yang dicetak di dalam buku-buku sebesar tapak tangan. Kecil dan tulisannya juga kecil sehinggakan kadang-kadang terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk membacanya. Gurau sahaja. Mungkin bajet penerbit sangat kecil dan jumlah pembeli juga sedikit. Entah-entah penerbit itu juga sudah bungkus. Tidaklah saya ketahuinya.

Kemudian, ada komik ala majalah. Kalau tidak silap saya Majalah Bujal. Berhampiran dengan rumah saya ada seorang pakcik yang agak kaya. Dia selalu membelikan majalah-majalah Bujal kepada anak-anaknya. Jadi, saya pun menumpang sekaki membaca majalah tersebut. Seingat saya, saya masih lagi ingat watak-watak di dalam cerita tersebut seperti wak Dojer. Entah-entah watak wak Man di dalam buku saya yang bertajuk 'Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq' secara tidak sedar telah menerima pengaruh wak Dojer di dalam Majalah Bujal.

Mana-mana pembaca muda yang membaca entri ini mungkin tidak mengetahui tentang Majalah Bujal. Selepas beberapa lama kemudian, lahirlah majalah Gila-Gila. Seronok juga membaca majalah Gila-Gila, terutamanya pada hari raya. Biasanya, kalau hari raya, sepupu saya akan menghidangkan Majalah Gila-Gila sebagai santapan di samping ketupat dan rendang. Yalah, kadang-kadang hari raya sangat membosankan kerana terpaksa menunggu lama ayah dan mak bersembang. Jadi, dengan membaca majalah Gila-Gila rasa bosan tersebut terbunuh.

Malangnya, majalah Gila-Gila sudah hilang sengatnya. Saya pun tidak lagi membeli majalah Gila-Gila. Lagipun sewaktu kecil, sekali sahaja saya membeli majalah Gila-Gila. Itupun setelah tabung batang buluh dibelah dua. Cuma ada satu sahaja perkara yang saya tidak suka. Majalah Gila-Gila mencampur adukkan Bahasa Melayu tinggi dan Bahasa Melayu rendah. Memang penerbit telah menghitamkan perkataan-perkataan yang tidak mematuhi kehendak Dewan Bahasa, tetapi ianya mencacatkan Bahasa Melayu.

Pada saya, alangkah eloknya jika majalah Gila-Gila diterbitkan dengan menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu Tinggi. Lagi enak dan sedap dibaca. Satu lagi majalah yang bagus tetapi tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi ialah Majalah Ujang. Pernah satu ketika, di tahun 2005, saya mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Antarabangsa Ashiya, di Kobe. Pada saat itu, seorang pelajar saya Rie Kumiko (Bukan nama sebenar)telah cuba hendak membaca Ujang. Tuhan sahaja yang tahu. Saya terpaksa membantu beliau kerana kamus tidak dapat menterjemahkan Bahasa Melayu Rendah. Alangkah baiknya jika Ujang juga diterbitkan di dalam Bahasa Melayu Tinggi.

Tuan-tuan, komik dan majalah juga sangat membantu perkembangan minda dan kuasa intertekstualiti anak-anak kita. Belilah majalah dan komik yang terbaik untuk anak-anak kita. Pastikan tuan-tuan mengimbas sekali lalu sebelum membeli mana-mana majalah atau komik kepada anak-anak.

Tuan-tuan, ada juga majalah atau komik yang diterjemahkan daripada bahasa asing seperti Sin Chan, Dragon Ball, Doraemon, Pedang Setiawan dan sebagainya. Majalah-majalah dan komik seperti ini mempunyai unsur-unsur luar yang mungkin akan mempengaruhi anak-anak kita. Jadi, sebelum membelinya, pastikan tidak ada unsur-unsur lucah di dalamnya. Komik seperti Doraemon pada pendapat saya tidak mempunyai banyak masalah berbanding dengan komik Sin Chan.

Komik Doraemon boleh membantu mengembangkan daya fikir. Cuma, belilah daripada penerbit yang menterjemahkannya dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Sekarang ini ada satu fenomena baharu iaitu Komik-M. Saya sudah membacanya dan saya tabik dan saya angkat ibujari. Selain daripada cerita-ceritanya segar, bahasa yang digunakan juga ialah Bahasa Melayu yang bagus. Tidak ada perkataan-perkataan kacukan dan ianya ditulis dengan berimbuhan sempurna. Saya telah membeli dan membacanya. Setelah membacanya, saya dapati tidak ada sebarang masalah membaca komik yang ditulis dengan imbuhan sempurna. Malahan lebih enak dan sedap dibaca.

Sekarang ada yang mempertikaikan saya. Apa salahnya menulis di dalam bahasa kacukan, campur bahasa Melayu sedikit, campur bahasa Inggeris sedikit? Memang salah, tuan-tuan. Pernah tuan-tuan membaca komik yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris kontot? Tidak pernah, bukan. Di dalam bahasa Cina juga tidak ada. Tetapi mengapa pula kita mesti mengadakannya di dalam Bahasa Melayu?

Mengapa Aliff Danial bersungguh benar mendorong anak-anak membaca komik dan majalah yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi? Supaya anak-anak dapat bertutur di dalam Bahasa Melayu yang baik, dapat menulis karangan UPSR, PMR, SPM, STPM dengan baik dan cemerlang. Apabila sudah memasuki universiti kelak, dapatlah anak-anak kita mengarang jawapan dengan baik dan sempurna. Bolehlah anak-anak kita menulis surat dengan bahasa rasmi.

Satu perkara lagi, anak-anak yang menguasai bahasa ibunda dengan baik, akan dapat menguasai bahasa asing dengan lebih baik. Jadi, sekiranya tuan-tuan mahu anak-anak tuan dapat menguasai bahasa asing dengan baik, ajarlah anak-anak dengan membaca buku-buku Bahasa Melayu Tinggi, supaya dengan itu koleksi perbendaharaan katanya mencecah ke angka juta.

Setakat ini sahaja sehingga bertemu lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Yang benar,

Aliff Danial

6.21.2011

Istimewa Daripada Wardina Safiyyah

Salam sejahtera.


Tidak lama lagi Bulan Tujuh akan tiba. Masuk Bulan Lapan, Ramadhan pula menjelma. Tidak sabar rasanya hendak menyambut bulan Ramadhan. Apa persediaan tuan-tuan sekalian? Semoga kita akan membuat persediaan yang lebih baik. Nampaknya PTS sedang membuat persediaan yang hebat untuk menempuh Bulan Ramadhan yang mulia ini dengan kempen Baca@Ramadhan. Kalau saya perhatikan, banyak buku-buku yang baik dan bagus sedang dipromosikan. Jangan lepaskan peluang mendapatkan buku-buku itu ya.

Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, blog Aliff Danial dikhususkan untuk berkongsi dengan tuan-tuan segala macam maklumat dan perkara yang bersangkut paut dengan perkembangan minda kanak-kanak melalui pembacaan. Jadi, pada hari ini saya hendak berkongsi dengan tuan-tuan sekalian perihal Wardina Safiyyah.

Semua orang mengetahui siapakah Wardina Safiyyah. Beliau ialah seorang artis dan juga pengacara di MHI TV3. Kira-kiranya, beliau boleh dikategorikan sebagai serba boleh. Tahukah tuan-tuan, beliau juga menulis buku untuk kanak-kanak?

Kalau tuan-tuan tahu dan sudah mendapatkan buku beliau, syukurlah. Kalau ada yang belum lagi memilikinya, inilah masanya untuk tuan-tuan pergi mendapatkan buku beliau.

Setakat ini beliau telah menulis dua buah buku. Pertama buku yang bertajuk, 'Mama, Saya Lapar', dan buku kedua bertajuk 'Siapa ALien'. Saya telah membaca buku Siapa Alien dan saya angkat ibu jari untuk buku ini. Buku ini bergambar dan bersifat interaktif.

Kalau tuan-tuan mempunyai anak-anak yang berumur 3-8 tahun, saya mengesyorkan tuan-tuan mendapatkan buku ini. Buku Siapa Alien boleh didapati di kedai-kedai buku termasuklah di kedai buku indie.

Apakah yang istimewanya buku ini? Setelah saya membelek buku ini, saya telah mendapati buku ini berupaya mengembangkan minda anak-anak. Buku ini juga mempunyai potensi untuk mencipta keakraban di antara anak dan ibubapa. Tahukah tuan sebab apa saya berkata begitu? Ini kerana anak-anak bukan sahaja didorong untuk membaca, tetapi mereka juga didorong untuk berfikir. Jadi, peranan ibubapa di sisi anak-anak adalah sangat penting untuk membaca buku 'Siapa Alien' sehingga tamat.

Bagaimana pula buku 'Mama Saya Lapar'. Maaflah ya, saya sendiri pun masih belum berpeluang membacanya. Sekiranya saya menemui buku tersebut, Inshaallah saya akan menceritakannya kepada tuan-tuan.

Jadi, apakah saranan Aliff Danial? Belilah buku 'Siapa Alien' untuk anak-anak tuan. Tetapi ada syaratnya. Tuan-tuan mesti berjanji untuk duduk di sisi anak-anak tuan sehingga buku itu tamat dibaca dengan jayanya oleh anak-anak tuan.

Setakat itu sahaja berkenaan dengan entri kali ini. Sekarang saya sedang menunggu buku 'Al-Amin, Riwayat Terindah Sang Kekasih Allah' tulisan A. Samad Said. Tidak sabar rasanya menunggu PTS BookCafe menghantarnya kepada saya. Saya belum membacanya, tetapi saya percaya buku ini sangatlah bagus. Kalau benar-benar bagus, saya akan kongsikan di sini buat tuan.

Sehingga bertemu lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.18.2011

Kenangan Saya Bersama Sebelanga Air Untuk Bokkas

Salam sejahtera.

Semoga tuan sihat sejahtera dan semoga kehidupan tuan penuh dengan segala kenikmatan dan keberkatan kurniaan Allah dari langit dan bumi. Amin.

Hari ini hari Ahad. Saya ada banyak perkara yang hendak dikongsikan bersama-sama dengan tuan sekalian. Idea datang mencurah-curah bagaikan air hujan. Biasalah tuan-tuan, kadang-kadang ketika tidak ada idea, otak terasa kering kontang bagaikan kemarau di padang pasir yang tandus. Kaktus pun boleh mati.

Hari ini saya mahu berkongsi dengan tuan satu cerita. Cerita ini telah saya baca 20 tahun yang lalu daripada sebuah buku yang bertajuk "Sebelanga Air Untuk Bokkas". Ajaib sungguh! Cerita ini telah saya baca ketika saya berumur sepuluh tahun, tetapi ianya masih kekal di dalam memori saya sehingga ke hari ini.

Sebelanga Air Untuk Bokkas ialah sebuah cerita rakyat Afrika. Tadi, saya cuba bertanya kepada Google tentang buku "Sebelanga Air Untuk Bokkas" tetapi Google menyatakan beliau tidak menemui sebarang maklumat tentang buku ini. Lalu saya mencuba menaipkannya di dalam Bahasa Inggeris. Saya cuba mencari dengan katakunci 'A bucket of water for Bokkas', pun tidak ada jawapannya.

Google dengan baik hatinya telah mencadangkan saya 'A pot of water for Bokkas' dan saya menemuinya! Rupa-rupanya karya "Sebelanga Air Untuk Bokkas" ialah sebuah karya terjemahan. Tetapi, ianya telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada diri saya.

Tuan-tuan tentu teringin hendak tahu apa kaitannya "Sebelanga Air Untuk Bokkas" dengan saya, bukan? Dua puluh tahun yang lalu, saya telah dibesarkan di sebuah kampung terpencil di daerah Tumpat, Kelantan. Tidak perlulah saya menyebutkan nama kampung itu. Biarlah kampung itu kekal damai tanpa ada orang mengenalinya.

Oleh kerana kampung itu terletak agak ke dalam, kerajaan tidak dapat menyalurkan air ke kampung itu. Lalu, dengan inisiatif Kementerian Kesihatan, demi menyediakan bekalan air bersih kepada orang-orang kampung, mereka telah menggali telaga dilengkapi dengan tangki dan paip. Kemudian, setiap 6 bulan, pegawai kesihatan akan datang memeriksa kualiti air untuk memastikan tahap kualiti air berada pada tahap yang membanggakan.

Syukurlah, sehingga kini, penduduk kampung itu masih lagi menggunakan air telaga tersebut dan bayaran bil untuk air tersebut sekitar RM3-RM6 sahaja sebulan. Penduduk-penduduk yang berada di tepi jalan besar pula menikmati air kerajaan tetapi, tarifnya mungkin berbeza. Mungkin lebih mahal.

Itu tidak penting di dalam cerita saya. Ada yang lebih penting dari itu. Pada suatu hari, saya membantu emak menyiram pokok bunga. Selain daripada menyiram bunga, saya juga menyiram tanah supaya tanah sentiasa basah dan kelihatan seperti baharu lepas hujan.

Ketika itu emak berkata, "Aliff, janganlah membazirkan air. Nanti kalau orang lain nampak, tentu mereka marah!"

Tetapi saya pun berkata, "Alah mak, peduli apa orang kata. Bukankah kita membayar bilnya setiap bulan?"

Lalu emak pun berkata, "Aliff, ini bukan soal wang. Kalau kita punya wang sebanyak mana sekalipun, sekiranya air telaga itu kering, wang itu tidak boleh melakukan apa-apa untuk kita, Aliff."

Tiba-tiba saya terdiam. Lalu saya pun pergi menutup pili. Tahukah tuan-tuan mengapa saya tiba-tiba berhenti? Saya berhenti kerana tiba-tiba saya teringatkan cerita "Sebelanga Air Untuk Bokkas".

Pada suatu ketika, di sebuah negara di Afrika, ada seorang budak lelaki yang bernama Bokkas. Pada waktu itu negerinya dilanda kemarau yang teruk. Sehinggakan tidak air walaupun setitik. Sehinggakan embun pun tidak mampu menitis di hujung rumput.

Pada suatu hari, Bokkas yang kecil itu telah bermimpi. Dia bermimpi menemui sebuah telaga air. Apabila dia terjaga dari tidurnya, dia telah pergi menemui penghulu. Tetapi, penghulu tidak mempercayai kata-kata Bokkas.

Tetapi, oleh kerana Bokkas terlalu mendesak, lalu penghulu pun mengambil keputusan untuk melayan kehendak Bokkas. Mereka pun pergilah ke tempat yang dikatakan oleh Bokkas.

Kemudian, penghulu dan orang-orang kampung pun menggali tempat itu. Dengan kehendak Tuhan, di situ membuak-buak air keluar. Lalu bergembiralah orang-orang kampung melihat air itu.

Penghulu berasa sangat gembira. Lalu dia bertanya kepada Bokkas,"Bokkas, apakah hadiah yang kamu mahu daripada kami?"

Lalu Bokkas berkata, "Penghulu, cukuplah air sebelanga untuk saya. Saya teringin benar hendak mandi. Sudah lama saya tidak mandi. Kurniakanlah saya sebelanga air untuk saya mandi. Itu lebih nikmat kepada saya daripada segala hadiah yang lain."

Selepas itu, Bokkas menerima sebelanga air untuk dia mandi dengan nikmatnya. Dia tidak pernah merasa nikmat yang lebih lazat dan sedap melainkan dapat mandi dengan sebelanga air.

Begitulah kisah Bokkas dan sebelanga airnya. Saya berasa sangat terharu dengan kisah ini. Sebab itulah, setiap kali saya keputusan bekalan air, saya akan cuba untuk mandi dengan hanya satu baldi dan menikmatinya seperti mana Bokkas menikmati sebelanga air.

Tuan-tuan, sekarang tentu tuan-tuan sudah nampak kesan pembacaan sebuah buku yang baik dan indah. Ianya kekal di dalam memori dan menjadi secebis daripada berjuta-juta memori yang ada. Pada ketika yang sesuai, ia akan terpanggil dengan sendirinya untuk menyentuh emosi kita.

Bayangkanlah sekiranya anak-anak kita didedahkan dengan beribu-ribu atau berjuta-juta buku. Tentu banyak lagi perkara yang hebat akan berlaku. Jadi, untuk memberikan kesan yang lebih baik kepada anak-anak, carikanlah buku-buku yang bagus untuk mereka. Sekiranya mereka tidak mahu membacanya, bacakanlah kepada mereka.

Tentu tuan juga mempunyai kisah-kisah yang menarik berkenaan buku. Ianya tersimpan kukuh di dalam memori tuan. Saya berdoa semoga memori-memori yang baik dan indah itu akan tersimpan kukuh di dalam khazanahnya.

Baiklah, setakat ini dahulu sampai kita bertemu lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.16.2011

Pancarkan Kuasa Intertekstualiti Kepada Si Cilik!

Salam sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada pengunjung-pengunjung blog Aliff Danial. Segala-galanya di sini adalah untuk masa hadapan anak-anak kita. Anggaplah ini satu sumbangan kecil saya kepada tuan, kepada Malaysia, dan kepada masa hadapan Malaysia. Doakanlah semoga blog Aliff Danial terus berkembang menjadi tempat kita berkongsi ilmu khususnya tentang buku dan perkembangan minda si cilik yang kita amat sayangi.

Tentu tuan tertanya-tanya apakah maknanya intertekstualiti itu? Sekiranya tuan-tuan bertanya kepada Google, nescaya beliau akan memberikan definisi-definisi yang akan menyebabkan urat-urat di kepala tuan-tuan bersimpul-simpul.

Oleh yang demikian, ada baiknya saya memudahkan tuan-tuan memahami makna intertekstualiti di dalam bahasa orang-orang kebanyakan.Tuan, tunggu! Jangan pergi dahulu ya. Tuan mesti membaca entri ini sehingga habis.

Sebelum saya terangkan makna intertekstualiti, ada baiknya saya terangkan tentang kesannya dahulu ya.

Contoh yang paling dekat dengan saya ialah animasi Boboiboy. Anak saya cukup suka dengan animasi Boboiboy. Pada suatu hari saya, isteri dan anak berjalan di Giant Putra Nilai. Anak saya baru setahun setengah (orang kata setahun jagung). Tiba-tiba dia berhenti di sebuah kedai video. Dia menarik tangan mamanya dan berkata, "Mama, Boboiboy!"

Anak saya tidak ada kaitan dengan intertekstualiti ya! Tetapi yang mengalami kesan intertekstualiti ialah saya sendiri. Tuan-tuan mahu tahu? Boleh, boleh, boleh! Saya terlihat kehadiran animasi Upin dan Ipin di dalam animasi Boboiboy.

Lalu, dengan perasaan yang tidak puas hati, saya pun bertanyalah kepada Google lagi. Rupa-rupanya, pelukis-pelukis animasi Boboiboy juga pernah melukis animasi Upin dan Ipin. Jadi, patutlah saya "terasa kehadiran bayang-bayang" Upin dan Ipin di dalam animasi Boboiboy.

Sekarang, saya fikir tuan-tuan yang bijaksana sudah boleh menangkap makna intertekstualiti. Masih ada yang belum dapat menangkap lagi?

Baik, marilah kita pergi mengembara ke tahun 1905. Aduhai, jauhnya kita merentasi masa. Ketika itu ada seorang pemikir yang bernama Carl Gustav Jung. Biasanya, orang memanggil beliau Jung.

Tuan Jung ini tiadalah pekerjaan lain, melainkan duduk membanding-bandingkan karya-karya orang. Tiba-tiba Tuan Jung telah mendapati ada secoret daripada buku Justinus Kerner hampir-hampir sama dengan karya Nietzsche (sila baca Neccha)yang berjudul Zaratrusta.

Maka, peninglah kepala Tuan Jung tadi. Terasa juga di dalam hatinya hendak mengatakan Kerner telah meniru/memplagiat kerja Nietzche. Malangnya, dia tidak mempunyai sebarang bukti. Lalu, dia pun duduklah berfikir.

Rupa-rupanya,Kerner tadi telah menerima pengaruh Zaratrusta melalui datuk beliau ketika beliau berumur 12-15 tahun. Ketika itu, Kerner tidak pernah langsung mendengar nama Nietzsche itu tadi.

Tetapi, oleh kerana Tuan Jung pernah membaca buku Zaratrusta, maka apabila beliau membaca karya Kerner, beliau "terasa kehadiran bayang-bayang" Zaratrusta di dalam karya Kerner.

Jadi, intertekstualiti ialah satu perasaan di mana kita dapat merasakan kehadiran bayang-bayang teks lain di dalam teks yang kita baca. Teks bukan sahaja terhad kepada tulisan, tetapi boleh jadi gambar, muzik dan sebagainya.

Eh-eh, tajuk kita ialah "Pancarkan Kuasa Intertekstualiti Kepada Si Cilik!". Tetapi, sampai sekarang masih belum ada sebarang kaitan dengan si cilik.

Di sinilah poin yang saya hendak sampaikan kepada tuan-tuan. Sebab itulah saya minta tuan-tuan bersabar tadi.

Tuan-tuan masih ingat lagi dengan Justinus Kerner? Bagus! Kerner dapat menghasilkan karya yang hebat kerana di dalam memorinya telah didedahkan tentang karya Nietzsche oleh datuk beliau ketika beliau berumur 12 tahun. Sudah tentu datuk beliau juga telah mendedahkan banyak lagi buku-buku yang hebat kepada Kerner.

Oleh itu, tuan-tuan, ketika umur anak kita masih lagi di peringkat rebung(0-12-15 tahun), ada baiknya kita mendedahkan kepada mereka buku-buku yang baik dengan banyaknya.

Kalau anak-anak kita malas hendak membacanya, kita tolong bacakan kepada mereka. Luangkanlah masa lebih kurang 15 minit sehari untuk membacakan buku-buku untuk mereka.

Sebab apa tuan-tuan? Semua bacaan yang dibaca atau didengari oleh mereka ini akan dipecah-pecahkan di dalam otak mereka. Proses yang bermula daripada pembacaan buku-buku atau pendedahan visual ini saya namakan sebagai proses Pemancaran Kuasa Intertekstualiti.

Kemudian, apabila mereka sudah besar kelak, kesan daripada Pancaran Awal Kuasa Intertekstualiti, daya kreativiti dan daya inovasi mereka akan bertambah berganda-ganda! Tentu mereka akan menjadi orang dewasa yang hebat-hebat. wah sukanya hati saya!

Tuan-tuan, kita mesti ingat, anak-anak kita akan membesar di abad ke-21 di mana hanya orang-orang yang kreatif dan inovatif sahaja boleh kekal lestari. Saya juga sedang risaukan masa hadapan anak saya. Marilah kita bersama-sama berganding bahu memancarkan kuasa intertekstualiti kepada anak-anak kita.

Bagaimana caranya? Cari buku-buku yang hebat, bacalah bersama-sama dengan anak-anak kita. Ingat! Kesan intertekstualiti yang bagus hanya datang daripada buku-buku yang bagus!

Sekian. Sehingga berjumpa lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Aliff Danial

6.14.2011

Siapa Ain Maisarah dan Najwa Latiff?

Salam sejahtera.

Saya telah berjanji kepada tuan-tuan hendak menulis tentang kesan pembacaan ke atas neuron-neuron otak anak-anak kita. Tetapi, terpaksalah saya menangguhkan entri itu kerana kerja kajigali maklumat-maklumat yang berkenaan belum siap sepenuhnya. Kalau saya hendak menunggu kerja kajigali tersebut siap sempurna, nescaya bersawanglah blog Aliff Danial kita ini.

Kenapa tiba-tiba Aliff Danial mengemukakan tajuk seperti ini? Hendak menumpang kemasyhuran orangkah? Bukan begitu, dong! Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan tuan-tuan sesuatu kebaikan dari bintang-bintang yang sedang bersinar-sinar di bumi.

Tiba-tiba saya teringatkan sebuah lagu jepun kegemaran saya. Baiklah, mari saya terjemahkan maknanya untuk tuan-tuan:

Mengapakah kita,
sering mendongak ke langit,
hendak melihat bintang yang jauh?
sehingga kita lupa,
di Bumi juga ada bintang.
Wahai walit,
bawalah aku terbang ke langit,
supaya aku dapat melihat,
bintang yang bersinar di Bumi.

Begitulah lebih kurang maknanya. Sekiranya lari sedikit sebanyak, haraplah dimaafkan ya.

Ain Maisarah dan Najwa Latiff adalah antara Bintang Bumi yang sedang bersinar-sinar cemerlang di tanah air kita, Malaysia tercinta. Seorang penulis muda, dan seorang lagi penyanyi muda. Mereka berdua mempunyai satu persamaan, iaitu berkarya untuk muda remaja.

Baiklah, saya ceritakan tentang penulis Ain Maisarah dahulu. Kalau Ain Maisarah membaca entri ini, harapnya beliau akan merasa bangga ya. Hendak tahu sebab apa? Sebabnya, saya sendiri membaca karya Ain Maisarah.

Pada mulanya saya berasa skeptikal dengan karya Ain Maisarah. Apakah sebab apakah musabab sampaikan anak-anak remaja dari umur 9-12 tahun, sehinggalah yang berumur 15 tahun menggilai karya Ain Maisarah? Jadi, perasaan ingin tahu yang membuak-buak itu menyebabkan saya telah membeli karya Ain Maisarah secara senyap-senyap.

Kalau isteri saya tahu, tentu dia akan mengata kepada saya. Abang sudah buang tabiat kah? Selalunya abang beli buku-buku akademik. Buku remaja pun abang hendak beli? Memang saya selalu membeli buku. Boleh dikatakan, setiap bulan dua tiga buah buku saya beli.Setelah itu, saya pun membaca buku tersebut.

Ajaibnya, tanpa saya sedar, saya telah membaca sehingga ke kulit belakang. Pandai Ain Maisarah. Beliau telah berjaya memperdayakan saya. Perasaan ingin tahu membuak-buak setiap kali habis satu bab. Jadi, terpaksalah saya membaca bab yang seterusnya.

Tuan-tuan tahukah kekuatan Hang Tuah? Kata P. Ramlee, kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf TA. Kekuatan Ain Maisarah pula? Kalau mengikut kajian saya, ianya terletak pada bahasa dan plot ceritanya. Kekuatan utamanya ialah bahasa yang beliau gunakan.

Tidak percaya kata-kata saya? Beli dan bacalah sendiri! Seni bahasa yang beliau gunakan terasa sedap didengar dan dibaca. Saya berasa terpesona dengan penggunaan bahasa tersebut. Jadi, saya sangatlah mencadangkan agar tuan-tuan mendapatkan karya Ain Maisarah untuk anak-anak tuan yang berumur di antara 9-15 tahun. Opss, umur saya sudah terkeluar daripada julat tersebut. Maafkan saya!

Jadi, apa kaitan pula dengan Najwa Latiff? Haa, mari saya cerita. Selepas saya melihat dokumentasi di TV3 tentang Najwa Latiff, saya terus bertanya kepada Google tentang beliau. Saya telah menemui karya asli beliau yang berjudul "Cinta Muka Buku". Suara beliau sedap didengar dan tidak membisingkan.

Tahukah tuan-tuan, sebab apakah lagu beliau begitu sedap dan memukau ramai pendengar? Pendengar online sudah mencecah ratus ribu, tuan-tuan. Kalau tuan-tuan hendak tahu, perhatikanlah bahasa yang digunakan untuk mencipta senikatanya. Ada seni bahasa di situ.

Jadi, tatkala saya mendengar lagu Cinta Muka Buku, karya asli Najwa Latiff, saya terus terdetik hendak menulis entri ini. Memang benarlah kata-kata orang tua:

Yang kurik itu kundi,
yang merah itu saga,
yang cantik itu budi,
yang indah itu bahasa.

Tengok, betapa berkuasanya bahasa di dalam kehidupan harian kita. Jadi, gunakanlah bahasa yang baik dan indah-indah di dalam kehidupan kita.

Aliff, bagaimana hendak belajar menggunakan bahasa yang baik? Bacalah buku-buku yang dikarang indah seperti buku-buku Ain Maisarah.

Percayalah kata saya, sekiranya anak-anak tuan yang berumur 9-15 tahun membaca buku-buku yang mengandungi bahasa-bahasa yang baik dan indah, inshaallah karangan bahasa Melayu anak-anak tuan akan bertambah bagus. Cikgu-cikgu bahasa Melayu pun akan merasa gembira.

Sekian sahaja entri kali ini. Sehingga berjumpa lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Jumpa lagi,
Aliff Danial

6.09.2011

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Kak Melah

Salam sejahtera.

Alhamdulillah. Malam tadi saya mendapat emel daripada PTS perihal manuskrip saya. Syukurlah, manuskrip "Putera Fariri dan Donat Puteri Salsabila" telah diterima dengan syarat sedikit pembetulan harus dibuat.

Sebenarnya, di dalam dunia penulisan, berita penerimaan merupakan satu berita gembira. Berita penolakan adalah berita yang menyayat hati. Saya berharap dengan terbitnya buku "Putera Fariri dan Donat Puteri Salsabila" kelak akan dapat menggembirakan kanak-kanak yang meminati siri Kisah Putera Fariri. Buku ini memang ditulis untuk kanak-kanak tidak kira laki-laki atau perempuan. Kalau sudah ada di pasaran, saya akan heboh-hebohkan di sini kelak. Nanti ya!

Oh ya, seperti mana yang telah saya janjikan, saya akan ceritakan panduan membelikan buku-buku untuk anak-anak tuan. Oleh kerana blog Aliff Danial ini dikhususkan untuk hal-hal yang berkaitan dengan buku kanak-kanak, eloklah kita takrifkan dahulu apa itu kanak-kanak?

Ada banyak pendapat tentang kanak-kanak. Tetapi, saya memakai pendapat yang mengatakan barangsiapa yang berumur di antara 0-12 tahun dikira sebagai kanak-kanak.Oleh yang demikian, buku-buku yang ditulis untuk golongan ini dikira sebagai Kesusasteraan Kanak-Kanak.

Hendak dijadikan cerita, ada seorang ibu hendak membelikan buku kepada anaknya, namanya ialah Kak Melah (bukan nama sebenar). Selepas Kak Melah membaca entri-entri saya, beliau pun berasa teruja hendak membelikan anaknya buku-buku. Jadi, dengan semangat yang berkobar-kobar, Kak Melah memandu kereta kancilnya menuju ke MPH, Alamanda, Putrajaya.

Kak Melah pun dengan bersemangatnya telah membeli sebakul buku untuk anaknya. Tetapi, sebaik sahaja Kak Melah memberikan buku-buku itu kepada anaknya, beliau terkedu. Apa tidaknya, anaknya melihat buku-buku tersebut seperti tikus melihat besi.

Jadi, apakah kesilapan yang telah dilakukan oleh Kak Melah sebenarnya? Tentu tuan-tuan dapat mengagak!Benar sekali. Kak Melah membeli buku yang tidak sesuai dengan umur anaknya. Sekarang anaknya baharu berumur 3 tahun. Tetapi, beliau telah membelikan buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq!

Sekalipun Kak Melah meminati buku saya, Kak Melah masih belum boleh memberikan buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq kepada anak beliau yang baru berumur tiga tahun jagung itu.

Maka, demi menyelamatkan wang Kak Melah, saya terpanggil untuk membantu beliau. Untuk pengetahuan Kak Melah, secara kasarnya, buku-buku kesusasteraan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada EMPAT KATEGORI mengikut umur.

I. Anak yang berumur 0-3 tahun. (Buku Bergambar Tanpa Tulisan)
II. Anak-anak yang berumur 3-6 tahun. (Buku Banyak Gambar Sedikit Tulisan)
III. Anak-anak yang berumur 6-9 tahun. (Buku Berselang Seli Gambar)
IV. Anak-anak yang berumur 9-12 tahun. (Buku Cerita Bab Demi Bab)

Secara ringkasnya, telah saya simpulkan di atas. Harapnya Kak Melah membaca entri kali ini dan dapatlah menjadi panduan kepada beliau untuk membeli buku kepada anaknya.

Apa? Tuan mahukan penerangan yang lebih terperinci? Boleh saja.

Baiklah, untuk anak-anak yang berumur 0-3 tahun, tuan boleh membelikan mereka buku yang mempunyai gambar-gambar besar. Biasanya buku-buku jenis kadbod sesuailah untuk mereka. Buku-buku kadbod ini keras dan tidak mudah terkoyak. Ianya lebih kepada "buku pertama". Ketika umur begini, fungsi buku bergambar ini hampir menyamai fungsi persembahan slaid (slide show).

Tetapi, tuan mesti ingat satu perkara! Pada peringkat umur 0-3 tahun, anak-anak memerlukan tuan sebagai fasilitator. Mmmm, susah juga saya hendak terangkan konsep fasilitator di sini. Saya cuba menerangkannya dan saya berharap tuan dapat bersabar membacanya, ya.

Sebagai contoh, ketika tuan menunjukkan gambar seekor ayam kepada anak tuan, tuan cubalah membuat bunyi-bunyi seperti ayam sedang berkokok. Kemudian, tuan ulang beberapa kali perkataan "ayam" sehingga anak-anak tuan ingat perkataan "ayam". Dengan kata lain, membaca pada peringkat umur 0-3 tahun lebih kepada mengenali bunyi dan objek.

Bagaimana tuan dapat mengetahui samada anak tuan menyukai atau tidak buku itu? Senang sahaja! Jikalau anak tuan ketawa dan cuba menyebut perkataan "ayam" apabila tuan meniru gaya ayam, itu petanda menunjukkan anak tuan menyukai buku itu. Teruskan berusaha. Jadi, pada peringkat umur begini, tuan mestilah memainkan peranan yang aktif.

Baiklah, kalau anak tuan berumur di antara 3-6 tahun, buku yang sesuai ialah Buku Cerita Bergambar. Plot ceritanya ringkas dan mudah sahaja. Biasanya ketebalan buku lebih kurang dalam 24 sehingga 48 mukasurat. Gambar yang besar, jelas, dan cantik adalah sangat digalakkan. Tulisannya juga seboleh-bolehnya besar dan senang dibaca.

Ketika anak tuan berumur sekitar 3-6 tahun, biasanya mereka masih belum boleh membaca. Tetapi, mereka sudah boleh bercakap dengan petah serta sudah mampu memahami perbualan ringkas.

Oleh kerana mereka belum boleh membaca, biasanya tuan boleh membantu mereka dengan membacakan kepada mereka. Ketika tuan membaca, paling bagus jika dibaca dengan nada berintonasi. Sekiranya anak tuan berkata, "Mama, selepas itu apa yang terjadi?", itu memberikan petunjuk positif. Seandainya tuan membaca secara mendatar, saya khuatir anak tuan tidak akan berminat. Kalau tuan hendak mendapatkan kesan yang lebih baik, bacakan seperti tuan sedang bercerita. Pada tempat-tempat yang memerlukan "kesan bunyi", bunyikanlah.

Untuk anak yang berumur 6-9 tahun pula, biasanya mereka sudah boleh membaca. Mereka lebih suka untuk membaca sendiri. Pada umur sebegini, peranan tuan sudah menjadi kurang, tetapi masih lagi diperlukan. Terutamanya untuk menerangkan beberapa perkataan baharu. Jadi, adalah lebih baik tuan juga membaca di samping mereka. Jadi, mereka dapat terus bertanya kepada tuan jikalau mereka tidak dapat memahaminya. Selain itu, tuan juga dapat memperbaiki bacaan mereka.

Buku jenis manakah yang sesuai untuk mereka? Dari segi mukasurat, carilah buku dengan purata 80-150 mukasurat. Dari segi kandungan pula, seeloknya tulisan yang saiznya masih lagi agak besar. Kalau boleh, pilih buku yang tidak terlalu padat tulisannya. Pada peringkat umur begini, kanak-kanak akan cuba memadankan apa yang dibacanya dengan gambar. Jadi, carilah buku yang mempunyai gambar-gambar. Karya saya, Buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq dan buku Putera Fariri dan Buku Resepi Ajaib termasuk di dalam kategori ini.

Untuk anak-anak yang berumur 9-12 tahun, biasanya suka membaca buku yang sudah agak tebal. Biasanya 150-250 mukasurat adalah biasa. Gambar sekeping dua atau tiada langsung pun sudah tidak menjadi masalah kepada mereka. Tetapi, buku yang dibeli mestilah masih lagi di dalam mood kanak-kanak. Biasanya buku-buku misteri menjadi pilihan kanak-kanak lelaki dan kisah-kisah sekolah untuk kanak-kanak perempuan.

Pada umur 9-12 tahun, tuan tidak perlu lagi mendampingi mereka kerana mereka biasanya suka membaca secara menyendiri. Senyum sendiri, ketawa sendiri, sedih sendiri dan macam-macam lagi. Tugas tuan-tuan ketika ini hanyalah memastikan buku yang dibaca adalah selamat untuk mereka hadam.

Saya berharap, entri kali ini dapat membantu tuan-tuan termasuklah Kak Melah kita itu. Oh ya, kalau kita perhatikan, umur yang paling penting untuk tuan-tuan berikan perhatian ialah dari 0-9 tahun. Selepas 9 tahun, biasanya mereka akan mempunyai momentum sendiri untuk teruskan pembacaan.

Jadi, sekiranya tuan-tuan tidak melakukan langkah-langkah yang sesuai pada umur anak-anak tuan 0-9 tahun, saya khuatir tuan akan terlambat! Nanti karang, puas dan lenguh mulut tuan-tuan membebel, tetapi anak tuan buat-buat tidak mendengarnya.

Oleh yang demikian, sebelum kita terlambat dan terlewat, demi masa depan anak-anak kita, laburkanlah masa, tenaga dan sedikit wang untuk menanam minat membaca buku kepada anak-anak kita.

Nampaknya sudah panjang lebar saya menulis di sini. Saya rasa eloklah saya berhenti dahulu. Esok-esok saya poskan entri yang baharu. Mungkin saya akan bercerita tentang pengaruh pembacaan pada otak kanak-kanak yang berumur 0-9 tahun. Jangan lepaskan entri yang akan datang ya!

Ingat! Setiap kanak-kanak ada ceritanya!

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.06.2011

Cerita Pakcik Pencen dan Tadika

Salam sejahtera.

Hari ini saya tidak berkarya. Ibu mertua datang ke rumah. Jadi, hari ini saya melayan mereka sahajalah. Buat masa sekarang saya masih lagi menulis separuh masa. Setakat ini belum lagi bercadang untuk menulis sepenuh masa. Tetapi, kalau diizinkan Allah Taala, saya teringin hendak menjadi penerbit. Penerbit buku kanak-kanak.

Saya masih lagi teringat kisah sepuluh tahun dulu. Ketika itu saya tinggal di Nada, Kobe. Saya tinggal di sebuah asrama pelajar-pelajar asing. Setiap pagi Ahad, biasanya saya akan duduk-duduk di bangku di sebuah taman di belakang asrama.

Selalunya ada seorang pakcik pencen bersenaman pagi di sana. Entah mengapa pagi itu pakcik pencen itu datang mendekati saya. Selalunya dia buat-buat tidak kisah sahaja kepada pelajar asing.

Pakcik pencen itu bertanya, "Kamu belajar apa di sini?"

Saya pun menjawab, "Saya belajar matematik, pakcik."

Pakcik pencen itu berkata lagi, "Nanti kalau sudah pulang ke Malaysia, kamu mahu kerja apa?"

Saya pun menjawab, "Saya teringin hendak bekerja di universiti, pakcik. Tetapi, entahlah. Bukan senang hendak mendapatkan jawatan itu."

Pakcik pencen itu berkata lagi, "Kalau kamu mahukan negara kamu lebih maju lagi, kamu bekerjalah di tadika. Tadika lebih memerlukan kamu."

Saya pun menjawab di dalam hati, "Tadika? Gajinya kecil sangatlah pakcik."

Perbualan itu masih panjang lagi. Tetapi saya petik sedikit sahaja. Kalau tidak, jenuhlah tuan-tuan hendak membacanya.

Sampai ke hari ini saya masih ingat lagi kata-kata pakcik itu. Entah-entah pakcik pencen itu ialah mantan seorang pensyarah perguruan tadika. Sah-sah dia mahukan saya menjadi seorang guru tadika. Aliff, positifkan fikiranmu! Positifkan fikiranmu!

Tetapi, bila saya memikirkannya kembali, setelah sepuluh tahun kembali ke Malaysia, terasa ada kebenarannya apa yang diucapkan oleh seorang pakcik pencen di sebuah taman di Nada, Kobe(Jepun).

Demi memajukan sesebuah negara, bukan pelajar universiti yang harus dibentuk! Tetapi, pelajar tadika yang sesuci embun pagi itu yang wajib diambil perhatian yang serius! Sepatutnya, guru-guru tadika mestilah lepasan ijazah sarjana muda atau sarjana.

Aliff, apa kaitan isu tadika dan buku pula? Baiklah, mari kita terjun ke tadika-tadika yang ada pada hari ini. Adakah tadika Malaysia memainkan peranan agar pelajar-pelajarnya minat membaca buku?

Soalan kedua pula, adakah tadika tersebut mempunyai buku-buku yang mencukupi? Adakah-buku-buku itu relevan? Dan, adakah buku-buku itu berupaya mencetus neuron-neuron anak-anak kita?

Atau buku-buku itu hanya "SUPAYA ANAK-ANAK BOLEH MEMBACA". Buku-buku yang bertemakan "SUPAYA ANAK-ANAK BOLEH MEMBACA" tidak berupaya mencetus pemikiran anak-anak. Anak-anak akhirnya boleh membaca untuk mencapai status 3M (Membaca, Menulis, Mengira) sahaja. Tetapi ianya tidak mencetus elemen keempat iaitu MINAT. Elemen keempat inilah yang boleh mendorong anak-anak kita untuk terus ke garisan hadapan.

Topik kita hari ini nampaknya serius dan berat. Saya pun terasa keseriusannya. Habis, apa yang mampu kita semua buat? Seperti saranan wonder pets, kerjasama!

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Tadika, mestilah bekerjasama di dalam memenuhkan perpustakaan tadika dengan buku-buku yang boleh mencetuskan minat, kreativiti, inovasi, hemah tinggi, dan pelbagai lagi unsur-unsur kebaikan. Ingat! Kita menghantar anak-anak kita bukan untuk tahu membaca sahaja. Kita mahukan anak yang genius.

Penerbit pula mestilah memikirkan semula gaya penerbitan mereka. Janganlah digunapakai istilah 'asalkan boleh dapat duit sudahlah'. Penerbit mestilah membuat kajian tentang buku-buku yang terbaik untuk anak-anak.

Penulis pula, hendaklah membaca kajian-kajian psikologi terkini supaya buku-buku yang ditulis dapat membantu anak-anak menjadi genius di samping menjadi manusia yang berguna demi kebaikan.

Ibu bapa, datuk nenek, abang kakak, merupakan benteng terakhir. Sekiranya, guru-guru tadika tidak dapat menyediakan kesemua yang kita inginkan. Kitalah yang mesti berusaha mendapatkan buku-buku yang terbaik supaya, anak kita/cucu kita/adik kita membesar menjadi manusia yang berguna dan bijaksana lagi genius.

Rasanya, sudah panjang lebar saya menulis. Eloklah saya berhenti dahulu. Inshaallah, di entri yang akan datang saya akan menulis bagaimana memilih buku mengikut peringkat umur anak-anak. Semoga dengan panduan-panduan ini, bolehlah kita membantu meningkatkan kebijaksanaan anak-anak kita.

Ayah saya pernah berpesan dulu-dulu, "Kalau kamu mahu jadi petani, kamu mesti jadi petani yang lebih hebat daripada saya!". Jadi, mengambil semangat ayah saya, marilah kita mengusahakan yang terbaik untuk anak-anak kita demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, pada sudut pandangan dunia dan akhirat.

Sekian, terima kasih.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.04.2011

Sketsa Kak Tipah, Anak, dan Buku


Salam sejahtera.

Tuan-tuan apa khabar? Alhamdulillah. Syukurlah kalau tuan-tuan sihat dan sejahtera. Oh ya, seperti biasa sebaris dua di sini saya kongsikan tentang perkembangan terbaharu karya saya "Putera Haziq dan Tiket Dunia Ajaib". Ini ialah ilustrasi yang saya lukiskan sebelum saya mula menulis. Nama stesen ini ialah "Stesen Gelap Tanpa Cahaya".

Nampak tak dua orang budak yang bersayap? Itulah Putera Haziq dan adiknya Puteri Amalina. Mereka sedang mengisi Tangki Cahaya. Eh-eh, ada sayap pula? Jangan risau. Sayap itu hadiah pemberian wak Man, pemandu Keretapi Gerabak Satu. Sayap itu menggunakan bateri. Bateri? Ya! Bateri Cahaya. Bateri Cahaya hanya boleh tahan selama satu hari sahaja. Nanti kalau bateri cahaya sudah habis, kenalah dicaskan semula. Saya telah melukiskan ilustrasi itu dengan pensel dan saya warnakan dengan PAINT. Saya tidak pandai ADOBE ILLUSTRATOR atau PHOTOSHOP. Tidak mengapalah. Asalkan ianya menjadi panduan saya mengarang.

Oh ya, berbalik semula kepada tajuk entri saya, 'Sketsa Kak Tipah, Anak, dan Buku'. Tetapi, sebelum itu baik saya ceritakan apakah tujuan blog Aliff Danial dibuat. Blog ini kalau bolehlah, saya mahu jadikannya sebagai tempat di mana ibu bapa, cikgu-cikgu mendapat ilham bagaimana hendak menanam minat membaca kepada anak-anak dan anak-anak murid.

Jadi, saya akan sedaya upaya mencari dan berkongsi bahan-bahan tersebut dengan tuan-tuan sekalian. Kalau ianya berguna, ambillah. Kalau ianya kurang berguna, tinggal-tinggalkanlah ya.

Baiklah, sebelum saya bercerita lebih lanjut, saya ingin bertanya. Pernahkah tuan-tuan mendengar ayat-ayat seperti ini:

Kak Tipah bercekak pinggang dan berkata, "Mira, sudah-sudahlah menonton TV. Pergi baca buku!"

Mira pun dengan bersegera menutup televisyen dan pergi mengambil bukunya. Sambil-sambil itu dia berkata sendirian, "Saya hendak membaca apa ya?"

Mira pun mengambil buku teks Bahasa Melayu (Kadang-kadang Bahasa Malaysia) dan mula membaca. Saya pun tidak tahu apakah yang dibaca oleh Mira, anak Kak Tipah. Sementara itu, Kak Tipah duduk di sofa sambil menonton filem Hindi yang dibintangi oleh Shah Rukh Khan (artis kegemaran Kak Tipah).

Tuan-tuan, sketsa Kak Tipah seperti ini banyak terjadi di dalam rumah-rumah rakyat Malaysia. Sebenarnya, tidak ada sesiapa yang bersalah di sini. Apalagi Shah Rukh Khan, kerana dia tidak tahu menahu tentang hal ini.

Mira, anak Kak Tipah juga tidak bersalah. Dia seorang anak perempuan yang taat. Kak Tipah menyuruh dia membaca buku, dia pun membacalah.

Buku teks juga tidak bersalah. Buku teks diciptakan untuk membantu cikgu-cikgu dan murid belajar tatabahasa supaya bahasa anak-anak tidak tunggang langgang. Supaya anak-anak tidak bercakap di dalam bahasa rojak.

Sebenarnya, yang salah ialah caranya. Niat Kak Tipah dan Mira sudah murni. Tetapi caranya salah. Kalau begitu, bagaimana cara hendak membetulkannya?

Supaya lebih jelas, saya senaraikan dalam bentuk langkah demi langkah,

1. Kak Tipah mestilah mengetahui dengan jelas, umur anaknya.

2. Setelah itu, Kak Tipah mestilah mencari buku-buku yang sesuai dengan umur anaknya.

3. Kemudian, Kak Tipah setkan masa membaca buku-buku itu.

4. Setelah buku-buku itu habis dibaca, Kak Tipah bertanya kepada anaknya sinopsis cerita.

Senangkan. Inilah EMPAT langkah mudah Kak Tipah boleh membantu Mira membaca buku. Dengan yang demikian, anak-anak Kak Tipah mengetahui dengan jelas apa yang hendak dibacanya. Buku teks boleh dibaca apabila sudah hampir dengan peperiksaan. Kalau tidak, tuan-tuan tahu apa yang akan dijawab oleh anak-anak tuan apabila tuan menyuruh mereka membaca?

"Rileks lah Papa, peperiksaan lambat lagi."

Sekian, terima kasih.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.02.2011

Anakku Tidak Mahu Membaca

Salam sejahtera.

Sekarang saya masih lagi di dalam pekerjaan menulis manuskrip "Tiket Dunia Ajaib Untuk Putera Haziq". Kali ini pengembaraan teruja Putera Haziq akan diserikan oleh Puteri Amalina. Puteri Amalina ialah adik perempuan Putera Haziq. Sekarang sudah siap separuh.

Oh ya, itu hanyalah kemaskini kerja penulisan saya demi memandaikan bangsa Malaysia dengan menulis di dalam bahasa Kebangsaan kita.

Tajuk entri saya kali ini ialah "Anakku Tidak Mahu Membaca". Agaknya mengapa ya?Bagaimana hendak buat ya? Baiklah, sebelum saya menjawab soalan mengapa dan bagaimana itu, ada baiknya kita cerita-cerita dahulu.

Nama anak saya Haziq. Masih lagi kecil. Saya pun tidak tahu bila dia sudah besar kelak, dia akan rajin membaca seperti papanya atau tidak. Harap-harap dia pun akan mencontohi papanya juga lah.

Masa dia masih lagi berumur setahun, saya belikan sebuah lori mainan. Dia sangat sukakan lori tersebut. Apa yang menarik, apabila saya membawa dia berjalan-jalan atau berkereta, dia akan menyebut "papa, loyi!" sekiranya ada lori yang melalui rumah kami, dia akan menyebut "papa, loyi!". Kalau dia nampak lori di dalam TV pun dia akan cakap, "papa, loyi!".

Saya rasa ini sangat menarik. Jadi, saya pun mencuba dengan kapal terbang. Saya belikan dia sebuah kapal terbang mainan. Lama-kelamaan, dia sudah boleh menyebut perkataan kapal terbang di dalam telornya, "Kapatebang".

Dan, yang anehnya, setiap kali kapal terbang MAS atau AIRASIA melalui udara rumah kami, anak saya akan berkata, "papa, kapatebang!". Setiap kali dia melihatnya di dalam TV, dia akan berkata, "papa, kapatebang!"

Saya tidak suka membelikan patung-patung untuk anak saya. Kalau boleh saya tidak mahu dia terpengaruh dengan segala macam karakter TV yang akhirnya akan mengosongkan poket saya, kan. Dan, anehnya anak saya tidak mengenali karakter-karakter tersebut sekalipun dia pernah melihatnya di dalam TV. walau berkali-kali.

Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang kawan saya menghadiahkan patung Ultraman Mebius dan Ultraman Kosmos. Setelah saya memperkenalkan nama-nama ultraman tersebut, bolehlah anak saya menyebutnya, "papa, men!". Bolehlah tu.

Kemudian, setiap kali ada iklan ultraman, anak saya pasti akan menyebut, "papa,papa, men!".

Jadi, saya pun berfikir, kalau saya belikan dia buku bagaimana? Tentu selepas ini dia akan sebut, "papa, buku!". Dan, telahan saya menjadi satu kebenaran. Saya telah membelikan dia tiga buah buku yang bertajuk "Buku Pertamaku". Buku-buku tersebut tidak ada abc pun. Cuma ada gambar-gambar besar.

Tetapi, ada sesuatu yang ajaib di situ. Apabila anak saya membuka buku tersebut, dia ternampak gambar lori. Dia pun berkata, "papa, loyi!". Bila dia ternampak kapal terbang di dalam buku itu, dia akan berkata, "papa, kapatebang!"

Agak-agaknya, buku dan TV itu mempunyai kesan yang sama kah? Entahlah. Saya pun tidak mengetahui. Tentu kalian lebih arif daripada saya.

Jadi, berbalik semula kepada tajuk kita, anakku tidak mahu membaca. Sebelum itu, pernah tak kita mendengar rungutan, "anakku tidak mahu menonton TV". Jarang-jarang, P.Ramlee kata.

Saya selalu mengambil rimot TV dan membuka siaran ASTRO 618 (BabyTV) yang percuma sehingga Oktober ini. Anak saya pun terpaku di situ untuk sejam dua. Bolehlah papa dan mama makan malam bersama. Kalau buka siaran Buletin Utama, dia mesti tidak mahu menonton TV.

Maka, saya pun membuat satu kesimpulan. Anak kita tidak mahu membaca buku kerana kita tidak membelikan mereka buku-buku yang boleh menarik minat mereka. Kalau kita sanggup menghabiskan wang membayar bil ASTRO, supaya anak kita mahu menonton TV, apalah salahnya kita melaburkan wang kita untuk membayar bil BUKU, supaya anak kita mahu membaca buku.

Tuan-tuan, buluh kalau sudah besar panjang, susah hendak dilenturkan. Sebab itulah orang Melayu Tua ada menyebut "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Jadi, marilah kita sama-sama menyahut seruan "KAMI MAHU BUKU! KAMI MAHU BUKU!"


Sekian, terima kasih.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

6.01.2011

Menulislah Untuk Bahasa Kita

Salam sejahtera.

Sekarang saya sedang menyiapkan manuskrip "Tiket Dunia Ajaib Untuk Putera Haziq". Saya berharap agar manuskrip ini sudi diterbitkan oleh PTS. Inshaallah.

Beginilah nasib penulis. Kadang-kadang manuskripnya diterima. Kadang-kadang manuskripnya ditolak mentah-mentah. Tetapi, buat masa sekarang saya hanya akan menyerahkan manuskrip saya kepada PTS sahaja.

Mengapa? Selama saya hidup di Malaysia, hanya PTS sahaja hampir-hampir yang memenuhi ciri-ciri penerbit impian saya. Tetapi, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh PTS. Apakah ciri-ciri itu? Opss. Nanti saya ceritakan di dalam entri yang lain.

Sebenarnya, samada karya saya diterbitkan atau tidak, bukanlah perkara yang sangat besar buat saya. Perkara yang lebih besar bagi saya ialah samada saya telah melakukan sesuatu atau tidak demi melestarikan bahasa Melayu di persada dunia.

Beberapa bahasa telah lenyap dari muka bumi dan beberapa bahasa lagi sedang menuju ke arah pelenyapan samada secara sukarela atau secara paksa. Bahasa Melayu sejak dahulu kala sehingga kini sering dipaksa untuk melenyapkan dirinya.

Entah mengapa, di dalam banyak-banyak bahasa di dunia ini, bahasa ini sering dipaksa supaya mati. Pelikkan.

Di dalam setiap bahasa terjiwa padanya nilai-nilai keibuan yang mendidik anak-anak bangsa itu sehingga ia besar dewasa. Nilai-nilai keibuan itu diturunkan dari satu keturunan kepada keturunan yang lain.

Keibuan orang putih, keibuan orang cina, keibuan orang India, keibuan orang Arab, keibuan orang Eropah, keibuan orang Melayu, keibuan orang Indonesia, dan segala macam lagi keibuan adalah berbeza dan sangat berbeza.

Adalah sangat penting kita menjaga agar keibuan orang Melayu terpelihara sepanjang zaman. Caranya ialah dengan menjaga Bahasa Melayu.

Tentu ada orang yang akan mengatakan, jaga Islam sudah memadai. Baiklah, mari kita lihat. Orang Arab ada yang Islam, orang India ada yang Islam, orang Cina ada yang Islam. Tetapi, bukankah terdapat perbezaan yang ketara di antara orang Islam Arab, Islam Melayu, Islam Cina, Islam India, Islam Eropah, Islam Amerika, Islam Jepun dan sebagainya?

Apakah yang membezakannya? Keibuanlah yang membezakan perlakuan di antara kita semua. Jadi, bagaimanakah hendak menjaga keibuan? Ajarlah anak-anak kita Bahasa Melayu. Dengan yang demikian, dia akan tahu dan mengerti nilai keibuan Melayu.

Berbalik kepada saya, saya menulis kerana saya mahu menyumbang walau sedikit kepada pemeliharaan nilai-nilai keibuan Melayu. Jadi, kepada penulis-penulis di luar sana, teruslah menulis demi kelestarian Keibuan Melayu.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial