7.25.2011

Sherlock Holmes Memang Best!


Salam sejahtera,


Apa khabar tuan-tuan? Semoga sihat-sihat selalu hendaknya. Saya hampir-hampir sahaja diserang selsema. Nampak gayanya di kiri dan kanan ada sahaja virus selsema. Anak saya mengutipnya di taska, isteri saya pula mengutipnya daripada anak-anak murid di sekolah beliau. Semua virus-virus itu dibawa balik ke rumah pula. Aduhai bersabarlah. Sabar itu kan cantik.

Sekarang sudah jam 12.39 malam. Saya baharu sahaja habis mentelaah pelajaran. Bulan Oktober ini ada peperiksaan. Banyak buku yang hendak dihabiskan.

Jadi, malam ini apakah topik yang saya hendak sentuh pula? Tuan-tuan pernah dengar nama Sherlock Holmes? Tidak pernah? Bagus! Saya juga hanya mengenali nama itu setelah membaca buku-buku Sherlock Holmes edisi Bahasa Melayu terbitan PTS.

Nanti ada pula orang mengata kepada saya. Asyik-asyik PTS. Tidak adakah penerbit lain yang hendak Aliff Danial sebutkan? Ada itu ada. Tetapi, buat masa sekarang PTS berada di dalam zaman kegemilangannya. Itu sebab saya selalu sebut.

Sesuaikah buku-buku Sherlock Holmes untuk anak-anak tuan? Memang sesuai sangat! Kalau anak-anak tuan sukakan animasi Detektif Conan, buku-buku Sherlock Holmes terbitan PTS ini sangatlah mujarab untuk mereka.

Tuan-tuan, saya sudah membaca kesemua buku-buku Sherlock Holmes terbitan PTS dan saya angkat ibu jari tanda bagus. Kalau tuan-tuan mempunyai anak-anak sekitar umur 10 tahun ke atas, elok sangatlah kalau memberikan mereka buku Sherlock Holmes.

Alamak, ada pula yang mengata saya. Bukankah buku Sherlock Holmes ditulis oleh orang barat? Tuan-tuan jangan salah faham. Saya bukan antibarat atau antisemantik atau sebagainya. Saya sarankan anak-anak tuan membaca buku ini kerana ia dapat mencungkil daya-kreatif dan daya-peka anak-anak tuan.

Sejak saya membaca buku Sherlock Holmes, nampaknya saya menjadi lebih peka dan teliti. Tidak perlulah saya menceritakan dengan terperinci isi kandungan buku tersebut ya. Beli dan baca sendirilah! Saya memberikan jaminan anak-anak tuan pasti akan menyukainya.

Kalau tuan-tuan sudah terpengaruh dengan hasutan ini, bolehlah keluar berjalan-jalan ke Popular atau MPH untuk mencari buku-buku ini. Kalau tidak ketemu, bolehlah membelinya secara online di BOOKCAFE PTS. Untuk makluman tuan-tuan, saya tidak menjual buku ya. Saya hanya membekalkan ilmu pengetahuan bagaimana mendapatkan buku-buku untuk anak-anak tuan sahaja. Itupun PERCUMA!



Tambahan pula, Ramadan sudah dekat sangat. Elok sangatlah kalau tuan-tuan belikan bekalan-bekalan buku untuk anak-anak tuan sempena menyambut Ramadan yang mulia. Sekurang-kurangnya mereka dapat melupakan seketika kepenatan berpuasa! Janganlah asyik hendak pergi ke Bazar Ramadan sahaja ya.

Baiklah, malam sudah larut. Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya!

Sehingga bertemu kembali.

Salam hormat,

Aliff Danial

7.22.2011

Puteri Disney vs Puteri PTS







Salam sejahtera,

Kita bertemu kembali setelah lama saya menyepi. Saya tiba-tiba diperlukan untuk menyelesaikan satu masalah yang besar. Hari-hari pukul enam sudah kena bersiap-siap untuk keluar rumah. Apabila balik rumah, saya sangat kepenatan. Jadi, idea tidak datang kalau tubuh rasa sangat penat.

Kalau betul-betul hendak menjadi penulis yang hebat, tubuh mesti sentiasa segar dan tidak penat. Kalau tubuh penat, tentu minda juga penat untuk berfikir. Jadi, tidak dapatlah hendak menulis.

Hari ini saya ingin menulis tentang Puteri-Puteri Disney. Anak-anak kita tentu sangat mengenali puteri-puteri Disney ini. Antara kisah-kisah puteri Disney ialah Cinderella, Barbie, Puteri Beradu dan Si Hodoh, Salju Putih dan Tujuh Orang Kerdil dan banyak lagi.



Semua kisah-kisah ini mempunyai mesej-mesej baik yang hendak disampaikan kepada anak-anak kecil. Tetapi, mesej-mesej ini cuba disampaikan menggunakan acuan budaya barat. Daripada kacamata orang-orang di barat, semua budaya-budaya itu dilihat sebagai baik.

Akan tetapi, sesetengah budaya yang ditonjolkan di dalam kisah-kisah puteri Disney dilihat sebagai bertentangan dengan budaya orang-orang Timur seperti Malaysia. Antara budaya yang dikira sebagai tidak sesuai dengan orang-orang timur ialah perbuatan mencium Puteri Beradu oleh Prince Charming untuk mengubati Puteri Beradu.



Pada pandangan orang-orang di Barat, ciuman ringan tidak menjadi masalah, malah diamalkan sekalipun kepada isteri orang ketika bersalam mesra. Tetapi, di mata orang-orang Timur, perbuatan seperti itu adalah tidak dibolehkan.

Antara budaya yang ditonjolkan di dalam kisah puteri Disney ialah budaya tari-menari yang bebas. Parti-parti keramaian yang dihadiri oleh Cinderella misalnya memaparkan aktiviti-aktiviti tari menari antara lelaki dan perempuan secara bebas. Lelaki dan perempuan bebas untuk bertukar-tukar pasangan semasa menari untuk mencari keserasian dan pasangan yang sesuai.

Untuk itu, adalah menjadi satu kewajipan kita orang-orang Timur melahirkan sendiri kisah-kisah Puteri supaya mesej-mesej yang baik dapat disampaikan dengan menggunakan acuan kita sendiri.



Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, sedikit sebanyak budaya-budaya orang barat yang ditonjolkan di dalam kisah-kisah puteri Disney akan melekat di dalam hati dan sanubari anak-anak kita.

Tuan-tuan, sudah lebih 50 tahun kita merdeka. Takkanlah kita masih lagi mahu memberikan anak-anak kita membaca buku-buku yang digarapkan dengan budaya orang-orang barat. Bukankah lebih baik jika kita memberikan mereka buku-buku yang ditulis dengan acuan kita sendiri.


Di Malaysia, PTS ialah penerbit yang aktif menerbitkan buku-buku Putera-Puteri PTS yang boleh menggantikan tempat-tempat Putera-Puteri Disney. Jom bertukar kepada kisah Putera-Puteri PTS!

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya. Sehingga bertemu kembali!

Salam hormat,

Aliff Danial.

7.04.2011

Malaysia Bersalji!

Salam sejahtera.

Tuan-tuan apa khabar? Saya doakan semoga tuan-tuan sihat walafiat di samping keluarga yang tercinta.

Tuan, hari ini saya hendak berkongsi satu petua. Saya rasa tidak perlulah saya meminta maaf kerana tidak dapat menulis entri setiap hari. Minggu ini ada terlalu banyak mesyuarat dan terlalu banyak kertas kerja yang perlu disiapkan sebelum tarikh mati. Boleh dikatakan hampir setiap hari saya dikejar oleh tarikh mati.

Tetapi, demi memandaikan bangsa, saya menggagahkan diri saya untuk menulis entri ini. Sekurang-kurangnya satu entri setiap minggu. Untuk pengetahuan tuan, kebiasaannya saya akan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk menulis satu entri.

Kali ini lebih berkisar kepada perpustakaan sekolah dan perpustakaan negeri.Tidak ada kaitan dengan salji pun. Cuma, saya tidak ada idea hendak meletak tajuk, jadi saya letaklah tajuk seperti itu. Memang Malaysia tidak pernah bersalji. Tetapi, kalau bersalji, barangkali kita semua mati.

Semasa saya masih kecil, dunia ketika itu masih lagi miskin. Mungkin dunia saya yang miskin. Dunia orang lain mungkin sudah kaya raya. Ketika itu harga sebiji epal ialah seringgit.

Saya dibesarkan di sebuah kampung kecil yang tidak terkenal. Di kampung itu, terdapat sebuah kedai runcit yang menjual buah-buahan import seperti epal merah, epal hijau, anggur merah, anggur hijau, dan buah lai kuning (pear). Epal merah jenama washington dan oren kuning jenama sunkist. Baunya sangat harum menusuk ke benak.

Biasanya, orang-orang yang masih hidup di dalam dunia kemiskinan seperti saya ketika itu hanya dapat mengecapi manis epal merah itu sekali setahun dengan belah tujuh. Mungkin ada orang lain yang lebih tidak bernasib baik, dan mereka tentu tidak pernah mencium bau wangi buah epal.

Tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk saya menikmati buah-buahan. Sekeliling rumah ditanam dengan pelbagai jenis buah-buahan Malaysia seperti buah jambu air, jambu batu, jambu merah, nenas, betik, rambutan, pauh, kelapa, salak, dokong, duku, langsat, manggis, durian, buah katak puru, nona, ciku, durian belanda, pisang, dan belimbing. Semuanya ditanam serba sepokok oleh ayah saya.

Lahir di negara yang tidak bersalji seperti Malaysia, tidak ada musim yang empat. Demi keadilan, Allah menganugerahkan kita musim buah. Oleh kerana buah jambu dan betik tidak bermusim, sepanjang tahun ianya berbuah. Tugas mereka ialah membekalkan vitamin C kepada anak-anak orang miskin yang tidak dapat makan sebiji epal sehari untuk menjauhkan diri daripada doktor.

Oleh kerana tanah sekangkang kera, sepokok pun jadilah untuk semusim. Mungkin inilah kebijaksanaan seorang ayah supaya anak-anaknya tidak meminta buah milik kebun orang. Semua buah-buah ini boleh dipetik dan dimakan percuma tanpa perlu dibayar walau satu sen.

Tetapi, di kala itu, saya tidak pernah berterima kasih. Hati dan perasaan saya hanya bertanya, mengapa ayah tidak membelikan epal merah ranum itu kepada saya? Apakah ayah tidak pernah menonton di TV, bahawa sebiji epal dan oren yang kaya dengan vitamin C dapat menghindarkan saya daripada berjumpa doktor?

Sekarang baharulah saya mengerti maksud di sebalik tirai kehidupan. Itupun setelah epal menjadi hidangan wajib di atas meja makan saya setiap malam. Dan anehnya, saya masih lagi melawat doktor, lebih kerap berbanding dahulu. Epal juga masih seringgit sebiji, tetapi seringgit yang telah dimakan oleh inflasi.

Tuan, maafkan saya kerana terlalu emosional. Bukan ini cerita utama kita. Saya hendak bercerita tentang buku dan anak-anak. Kita tidak pernah meminta untuk miskin, malah kita seringkali menadah tangan supaya kita sentiasa kaya-raya. Kalau boleh seperti iklan Petronas, duit mengejar kita. Bertaburan jatuh dari langit.

Tetapi, Allah sentiasa menguji kita. Mungkin Dia mahu melihat kita berterima kasih kepadaNya. Baiklah, katakanlah kita ditakdirkan miskin. Atau gaji kita cukup-cukup makan sahaja. Manakala harga buku di kedai sangat mahal seperti epal merah tadi, dan kita tidak mampu untuk membelinya. Apakah kita sanggup mengorbankan hak anak-anak kita untuk mendapatkan sehirup ilmu daripada bacaan-bacaan?

Kalau kita tidak dapat memberikan epal merah yang mahal, berilah buah rambutan manis dan enak yang ditanam di tepi rumah kita kepada anak-anak kita. Sekiranya kita tidak dapat membeli buku-buku yang mahal kepada anak-anak kita, pinjamlah buku-buku di perpustakaan sekolah atau perpustakaan awam. Percuma dan percuma.

Sewaktu saya bersekolah rendah, ibu dan ayah saya bukan sahaja tidak mampu membelikan epal kepada saya, tetapi mereka juga tidak mampu membelikan buku kepada saya. Lalu, apa yang mereka lakukan? Mereka menyuruh saya meminjamnya dari perpustakaan. Sehinggakan habis buku di perpustakaan telah saya pinjam.

Kadangkala saya selalu bertemu dengan guru perpustakaan bertanyakan buku yang baharu. Seringkali saya meminjam dua kali buku yang sama kerana sudah tidak ada buku yang hendak dibaca. Saya dilahirkan di dalam dunia miskin dan saya masih mampu membaca buku seperti anak-anak orang kaya tanpa mengeluarkan wang satu sen pun. Malah saya diberi hadiah kerana banyak meminjam buku di perpustakaan.

Jadi, tuan-tuan, jangan kita jadikan kesempitan wang ringgit sebagai penghalang kejayaan anak-anak kita. Terutamanya di dalam hal mendapatkan bahan bacaan. Di sini saya berikan tips kepada tuan-tuan.

Tuan-tuan boleh berbincang dengan guru kelas untuk membantu anak tuan meminjam buku di perpustakaan. Seboleh-bolehnya seminggu sebuah buku mesti dipinjam. Tuan-tuan mestilah merekodkan buku-buku yang telah dipinjam itu.

Kemudian, tuan-tuan mestilah meminta anak-anak tuan menceritakan sinopsis buku yang telah dibaca. Kalau anak-anak tuan agak malas sedikit, berilah sedikit insentif misalnya, satu sinopsis seringgit. Semakin banyak sinopsis, semakin banyaklah simpanan ringgit anak-anak tuan.

Kaedah ini mungkin juga boleh menjadi serampang dua mata. Sambil menyelam minum air. Pertama, anak tuan dapat menambahkan ilmunya melalui pembacaan. Kedua, anak tuan dapat belajar menabung. Mungkin dengan tabungan itu, anak tuan dapat membeli buku-buku kesukaan mereka? Bijak-bijak.

Nampaknya, entri sudah terlalu panjang. Saya berharap tuan-tuan mendapat sedikit ilmu untuk dipraktikkan bersama anak-anak ya.

Sehingga bertemu kembali. Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Yang benar,
Aliff Danial

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial