8.10.2011

Duit Raya dan Buku


Salam sejahtera,




Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan Bulan Kemerdekaan. Semoga bulan ini menjadi titik mula untuk kita mencapai kehidupan dunia yang lebih berkat.

Tuan-tuan, bersempena dengan Bulan Ramadan yang mulia ini, apa kata kalau kita pupuk semangat membaca. Sambil-sambil menunggu waktu berbuka, eloklah diisi dengan membaca Al-Quran, tafsir Al-Quran dan sebagainya selain daripada menonton TV.

Tuan-tuan, sekarang ini, sudah ada banyak buku-buku cerita yang sesuai untuk dibaca oleh anak-anak kita semasa bulan Ramadan ini. Di sini saya sarankan buku cerita yang berjudul Ramadan Balqis yang ditulis oleh Puan Ida Munira. Saya belum membaca buku ini, tetapi sinopsisnya yang menarik memanggil saya untuk memperkenalkannya kepada tuan.

Tuan-tuan, apabila tiba hari raya kelak, tentu kita akan bersedekah duit raya kepada anak-anak kecil. Mereka akan merasa gembira apabila menerima duit raya tersebut. Jadi, bagaimana kalau saya sarankan supaya kita menyebutkan ayat, "Anak, duit ini simpan buat beli buku ya. Kalau rajin membaca, kelak kita cepat pandai"

Jadi, sekurang-kurangnya ada peringatan supaya anak-anak kecil tidak membeli benda-benda yang tidak berfaedah seperti bunga api dan sebagainya.

Seperkara lagi, untuk abang-abang dan kakak-kakak yang tinggal di perantauan, apabila balik kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga atau berhari raya, eloklah membelikan buku sebagai buah tangan untuk adik-adik yang masih kecil.

Kalau hendak membelikan buku-buku karya Aliff Danial pun boleh. Orang kata, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Tidak kisahlah tuan-tuan. Apa yang paling penting ialah pemupukan minat membaca.

Alamak, saya sudah sangat mengantuk. Kita jumpa lagi ya. Apa-apa pun ingat ya, setiap kanak-kanak ada cerita.

Slaam hormat,
Aliff Danial


TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial