9.29.2011

10 Perkara Sebelum Anak Berumur 10 Tahun

Salam sejahtera,

Kita bersiaran lagi untuk episod hari ini. Hari ini saya ingin kongsikan bersama tuan-tuan semua tentang 10 perkara yang kita patut lakukan sebelum anak-anak kita berumur 10 tahun.

Kenapa mesti dilakukan sebelum mereka berumur 10 tahun? Menurut pembacaan saya, umur kanak-kanak ketika ini sangat segar dan ianya dapat menyerap dengan sangat laju seumpama kain kapas yang kering menyerap air.

Tanpa banyak bicara, saya perturunkan 10 perkara tersebut:

  1. Belajar membaca dan menulis  - Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Jawi
  2. Belajar bercerita - Buku-buku cerita
  3. Belajar menghafal - Al- quran, Hadith 40, pantun, syair, sajak
  4. Belajar mendengar
  5. Belajar erti ibadah - Solat, puasa
  6. Belajar seni dan kraftangan - Anyam ketupat, anyam tikar, tudung saji, songket, batik, origami
  7. Belajar dengan bersiar-siar - Bendang padi, ladang, bandar-bandar, kampung-kampung 
  8. Belajar melakukan kerja amal - Membersihkan masjid, surau, membersihkan taman daripada aedes
  9. Belajar disiplin - menepati masa, menghormati orang tua, dan sebagainya
  10. Bermain dan meneroka - main jual-beli, main masak-masak, main dam, main congkak, main karom.
Semua sepuluh perkara ini janganlah dipaksakan ke atas mereka, sebaliknya didorong supaya tertanam minat dan kesedaran sendiri untuk melakukannya. Apa-apa pun, berilah perhatian kepada anak-anak sebelum berumur 10 tahun. Sebab apa? Sebab biasanya kalau sudah semakin besar anak-anak, mereka semakin jauh daripada kita dan mereka lebih dekat dengan rakan-rakan mereka. Jadi, nikmatilah rasa kebersamaan itu selagi masih ada masa!

Selamat mencuba. Ingat ya, setiap kanak-kanak ada cerita.

Salam hormat,
Aliff Danial

9.27.2011

Anak Umur 2 Tahun Hafal 200 Perkataanlah!

Salam sejahtera,

Semoga kehidupan kita sentiasa diberkati.

Semalam saya telah senaraikan 99 perkataan yang telah dihafal oleh anak saya yang berumur 2 tahun. Setelah saya membuat pemerhatian semula, saya dapati masih ada lagi perkataan yang tidak termasuk di dalam senarai tersebut. Jadi, saya pun membuat senarai tambahan yang baru.

Subhanallah! Mashaallah! Rupa-rupanya anak saya telah menghafal sebanyak 200 patah perkataan ketika usianya 2 tahun ini. Ini satu keajaiban yang sangat menakjubkan buat saya.

Untuk tatapan tuan-tuan sekalian, manalah jikalau berguna, saya muatnaikkan senarai tambahan itu. Tuan-tuan boleh dapatkannya di sini.

Mungkin senarai ini boleh menjadi panduan kepada tuan-tuan di dalam proses mengajar anak-anak tuan berbicara.

Sekian, terima kasih.

Aliff Danial

99 Perkataan Awal Untuk Anak 2 Tahun!

Salam Sejahtera. 

Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat hari raya buat semua sahabat-sahabat pembaca blog aliffdanialbooks (ADB). Saya memohon maaf kepada tuan-tuan sekalian kerana sejak akhir-akhir ini jarang sangat bersiaran. Bukannya saya malas, tetapi kadang-kadang kekeringan idea. 

 Setelah merayau di alam maya, saya mendapat satu idea. Sebenarnya idea ini diperolehi daripada blog Puan Ainon (UNIKA PTS). Ianya tentang perkataan terkawal untuk pembaca-pembaca awal. 

Oleh kerana saya mempunyai seorang cahaya mata, dan baharu berusia dua tahun, lalu saya mengumpulkan semua perkataan yang telah anak saya ingat dan selalu menggunakannya. Terkejut tetikus saya dibuatnya. Rupa-rupanya dalam sedar tidak sedar, anak saya sudah mengenali sekurang-kurangnya 100 perkataan.

Lalu saya mengumpulkan perkataan-perkataan tersebut untuk dikongsikan bersama-sama dengan tuan-tuan. Boleh muaturun di sini. Pada hemat saya, lembaran ini sesuai dimuaturun dan dicetak oleh tuan-tuan yang mempunyai anak kecil seusia 1 tahun. Bolehlah dijadikan panduan untuk melatih anak-anak bercakap.

Sekian, terima kasih.

 Aliff Danial.

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial