10.10.2011

Tujuh Tip Berkesan Untuk Bercerita Kepada Si Comel

Salam sejahtera.

Seperti yang telah saya janjikan, hari ini saya akan berkongsi tip-tip untuk bercerita kepada si comel dengan berkesan. Sudah bersedia? Mari kita mula...

Dahulu kala, datuk nenek kita tidak berpeluang menikmati hiburan seperti yang kita nikmati hari ini. Pada hari ini terdapat pelbagai media hiburan untuk dinikmati seperti televisyen, internet dan sebagainya. Di zaman datuk nenek kita, hanya ada hiburan-hiburan tradisional yang hidup dan dekat di hati.

Antaranya ialah wayang kulit, cerita penglipur lara, teater dan seumpamanya. Kalau kita perhatikan dengan betul-betul, semuanya berkait dengan "Ceritakan kepadaku satu cerita". Adakah ini bermakna manusia sejak dari dahulu kala suka mendengar cerita?

Kalau benarlah manusia memang suka mendengar cerita, kenapa tidak kita bermula dengan bercerita kepada si comel kita.

Pertama: Kumpulkan sebanyak mungkin buku-buku cerita yang bergambar di rumah kita.

Kedua: Pilih satu daripada buku-buku itu dan baca beberapa kali untuk menghayati cerita sebelum kita mula bercerita. Seboleh-bolehnya pilihlah cerita yang berakhir dengan gembira supaya anak-anak dapat tidur dengan aman. Jangan pilih cerita hantu atau cerita yang bukan-bukan.

Ketiga: Tetapkan hari bercerita kalau penat untuk bercerita setiap malam. Katakanlah tuan memilih malam Jumaat ialah malam untuk bercerita kepada anak-anak supaya mereka tidur awal.

Keempat: Mulakan dengan menyebut "Tersebutlah kisah dahulukala..." dan senyap seketika untuk menunjukkan bahawa kita sedang menyingkap tabir waktu.

Kelima: Jangan lupa berganti-ganti suara apabila bertukar karakter. Mungkin boleh digaraukan sedikit suara atau dihalusi mengikut keperluan karakter di dalam cerita.

Keenam: Sekiranya karakter senyum, kita pun senyum. Apabila karakter sedih, kita pun buatlah muka sedih. Apabila karakter marah, kita pun buatlah muka marah. Dengan kata lain, air muka hendaklah sentiasa berubah mengikut mood karakter.

Ketujuh: Sekali-sekala bayangkan kepada anak-anak suasana latarbelakang cerita. Biarlah mereka bermain-main dengan imaginasi. Dan keluarkan bunyi-bunyian sebagai kesan sampingan. Ketika ini mungkin ada anak-anak yang akan turut menghasilkan bunyi-bunyian tambahan. Biarkan mereka seketika sebelum menyambung cerita.

Tuan-tuan, itulah tujuh tip-tip yang boleh diguna sekiranya tuan-tuan bersungguh-sungguh untuk memulakan sesi bercerita kepada anak-anak.

Mari kita membuat sedikit kiraan. Katakanlah tuan menetapkan setiap malam Jumaat, tuan akan membacakan satu buah buku kepada anak-anak tuan. Ini bermakna, setiap bulan, tuan akan menghabiskan 4 buah buku. Dengan ini, dalam masa setahun, anak-anak tuan akan mendengar 48 buah buku cerita. Bayangkanlah, dalam masa enam tahun, 288 buah buku telah dibaca. Apa yang penting? I.S.T.I.Q.A.M.A.H

Sekian sahaja siaran kali ini. Sehingga bertemu kembali.

Aliff Danial


10.08.2011

Mama, Bacakanlah Cerita Untuk Kami

Salam sejahtera,

Selamat bersiaran kembali! Oh ya, hari ini saya ingin berkongsi tip-tip untuk membacakan cerita kepada anak-anak.

Apa? Anak baru berumur dua tahun? Tidak ada masalah. Sebenarnya, menurut kajian saya sendiri, anak dua tahun sudah mengingat dan memahami lebih dan kurang 200 patah perkataan. Itu sudah memadai untuk bercerita.

Untuk anak-anak berumur 4 tahun ke bawah, begini caranya:

Kita sebagai ibu bapa tentu mengetahui subjek kegemaran anak-anak kita. Sebagai contoh, anak saya sukakan keretapi dan binatang-binatang. Jadi, sebelum anak saya tidur, saya akan mereka satu cerita ringkas yang hanya menggunakan perkataan yang telah anak saya ingat. Begini contohnya:

"Toot-toot, bunyi keretapi. Ayam nampak keretapi. Ayam pun berkokok, kuk kerek kuk, keretapi, tunggu saya keretapi! Ayam pun naik keretapi.

Toot-toot, bunyi keretapi. Kambing nampak keretapi. Kambing pun mengembek, mbek mbek mbek, tunggu saya keretapi! Kambing pun naik keretapi.

Toot-toot, bunyi keretapi. Itik nampak keretapi. Itik pun menguek, kuek kuek kuek. tunggu saya keretapi! Itik pun naik keretapi.

Ayam naik keretapi. Itik pun naik keretapi. Gajah pun naik keretapi. Toot-toot sudah sampai! Ayam pun balik ke rumah dia. Itik pun balik ke rumah dia. Kambing pun balik ke rumah dia. Ayam pun tidur. Itik pun tidur. Kambing pun tidur."

Jadi, pandai-pandailah kita merekacipta sendiri cerita-cerita ringkas tetapi bermakna buat anak-anak kita sekalipun mereka masih kecil.

Untuk anak-anak yang lebih besar pula, kalau rajin rekalah cerita. Tetapi untuk lebih mudah, belilah buku-buku yang sesuai untuk anak-anak kita.

Alamak, saya sudah mengantuklah. Sekarang sudah jam dua pagi! Tip untuk anak-anak yang lebih besar saya sambung esok ya!

Sampai jumpa lagi,

Aliff Danial




10.04.2011

Kebolehbacaan dan Kesusasteraan Untuk Anak-Anak

Salam sejahtera,

Selamat bersiaran kembali di dalam siaran santai untuk anak-anak Malaysia. Hari ini saya hendak menyentuh tentang dua konsep ini. Kebolehbacaan ialah perkataan yang saya terbitkan sendiri untuk menggantikan konsep 'celik huruf' . Maaf ya tuan-tuan kerana saya menukarkan konsep itu sesedap rasa saya. Lagipun saya rasa kebolehbacaan lebih sedap bunyinya.

Sekarang cuba tuan-tuan perhatikan kerja-kerja sekolah anak-anak kita/adik-adik kita seusia 7-10 tahun.Tidak kiralah matapelajaran bahasa kebangsaan atau bahasa asing, agak-agaknya, kerja-kerja sekolah tersebut menekankan konsep kebolehbacaan atau kesusasteraan?

Apakah beza di antara kedua-duanya? Sekiranya kerja-kerja sekolah tersebut lebih kepada mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang betul, itu latihan yang menjurus kepada kebolehbacaan. Ianya bukan latihan kesusasteraan.

Latihan kebolehbacaan diperkenalkan kepada para pelajar supaya sasaran negara untuk mengurangkan kadar buta huruf sehingga kepada 0 % berjaya. Dengan maksud, sekurang-kurangnya anak-anak kita akan mendapat pekerjaan kerana boleh/dapat/mampu membaca.

Tetapi, ada satu kekurangan di sini. kebolehbacaan sahaja tidak banyak membantu anak-anak menjadi kreatif dan inovatif. Ini kerana kebanyakan latihan (drill) yang dibuat itu banyak yang tidak bersangkut paut dengan kehidupan kanak-kanak itu.

Sebagai contoh, isikan tempat kosong berikut dengan perkataan yang betul:

Ali sedang _________ gunung.

  • menolak
  • mendaki
  • memakan
  • menoreh 
Jawapannya ialah mendaki. 

Jadi, apakah yang diperolehi oleh anak-anak kita daripada latihan seperti ini? Belum pun sempat anak kita berfikir dan berimaginasi tentang mendaki gunung, mereka harus menjawab soalan lain pula yang juga tidak ada kaitan dengan mereka. Kasihan.

Maka bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini? Ajarlah anak-anak kita kesusasteraan. Jangan berhenti setakat kebolehbacaan sahaja. Bagaimana?

Ajarilah anak-anak kita misalnya, mencipta sajak-sajak pendek yang berkaitan dengan mereka. Sebagai contoh ketika anak kita melihat kucing yang sedang tidur di bawah payung di depan rumah kita, minta mereka mencipta satu sajak untuk kucing itu,

kucingku comel,
tidur di atas simen,
mujurlah ada payung,
dapat tidur dengan aman.

Lihat, aktiviti seperti ini dapat meransang minda kreatif anak-anak kita berbanding dengan latihan seperti di atas. Sekiranya ada guru-guru Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang membaca entri ini, bolehlah tuan-tuan guru dan puan-puan guru mempraktekkan kaedah ini. 

Inshaallah anak-anak murid tuan-tuan dan puan-puan akan lebih kreatif dan inovatif.

Sekian sahaja daripada saya,

Aliff Danial

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial