5.28.2011

Pelukis Kata dan Pelukis Gambar

Salam sejahtera.

Semoga hari ini semua orang sihat dan sejahtera.

Apa kata kalau saya kongsikan satu lagi petua untuk menulis buku untuk kanak-kanak. Mungkin juga petua-petua ini boleh digunakan untuk buku dewasa.

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita mesti mengetahui dua istilah iaitu pelukis gambar dan pelukis kata. Pelukis gambar saya takrifkan sebagai pelukis-pelukis samada pelukis tradisional atau pelukis grafik.

Pelukis kata ialah pelukis yang melukis apa yang dicapai oleh pancaindera dengan menggunakan kata-kata. Nama lain untuk pelukis kata ialah penulis. Jadi, penulis ialah seorang pelukis tetapi seseorang yang melukis dengan menggunakan kata-kata.Boleh faham tak? Harap-harap ianya tidak terlalu tinggi ya.

Apabila kalian sudah faham istilah pelukis kata, bolehlah terus membaca tulisan ini. Pelukis gambar menggunakan titik-titik dan garis-garis, nipis atau tebal, dan warna-warna untuk mengekspresikan apa yang dicapai oleh pancainderanya.

Jadi, perkara yang serupa digunapakai oleh pelukis kata (penulis). Kalau pelukis gambar menggunakan titik,garis,dan warna, pelukis kata(penulis) menggunakan kata-kata untuk mengekspresikan apa yang dicapai oleh pancainderanya.

Nampaknya macam dah berbelit-belit sahaja.Baiklah, saya berikan satu contoh. Kalau pelukis gambar hendak melukis seekor burung yang terbang, dia akan lukiskan sahaja gambar itu. Orang yang melihat pemandangan itu tahu burung itu sedang terbang.

Tapi, bagaimana pelukis kata hendak melukiskan gambar burung yang sedang terbang dengan menggunakan kata-kata?

"Burung yang berwarna merah kuning itu membuka sayapnya. Perlahan-lahan dia mengepakkannya. Semakin lama semakin laju. Kakinya mula terangkat daripada dahan pokok manggis itu dan dirapatkan ke dadanya."

Nampak tak? Pelukis kata cuba untuk melukis gambar burung yang sedang terbang.

Pelukis gambar yang baik ialah pelukis gambar yang mahir menggunakan garis-garis dan titik serta warna. Pelukis kata (penulis) yang baik pula ialah pelukis kata(penulis) yang mahir menggunakan kata-kata.

Adakah kemahiran itu datang dengan percuma? Maaf ya. Ianya tidak datang dengan percuma. Saya sehingga sekarang masih lagi belajar. Oh ya, bagaimana cara hendak memahirkan diri ya? Di bawah ini saya senaraikan kerja yang kalian mesti buat untuk mahir di dalam aktiviti melukis gambar dengan kata-kata.

Katakanlah kita hendak melukis dengan kata-kata (menulis) tentang orang yang cantik.

1. Cari karya-karya hebat di dalam bahasa Melayu dalam sepuluh buah ke atas dari pelbagai zaman.

2. Kemudian cari di dalam karya itu bagaimana mereka melukiskan tentang orang yang cantik.

3. Pilih ungkapan-ungkapan yang kita rasa sedap dibaca.

4. Cuba hafal ungkapan-ungkapan itu.

5. Pejam mata dan cuba tulis semula.

6. Kadang-kadang dengan menggabungkan ungkapan-ungkapan daripada beberapa buah buku akan menjadikan ungkapan kita lebih sedap didengar.

Bagaimana pula kalau tidak ada karya yang dapat dirujuk? Kita boleh mengambil gambar dan menjadikannya sebagai rujukan.

Seperkara lagi, kita mestilah mempunyai Tesaurus bahasa Melayu yang baik di tangan untuk menulis. Di Malaysia, Tesaurus Bahasa Melayu tulisan Puan Ainon Mohd menjadi rujukan saya.

Sekian. Semoga petua ini sangat berguna kepada kalian semua. Kongsikanlah petua ini dengan semua orang. Semoga lebih ramai pelukis kata (penulis) buku kanak-kanak akan lahir di Malaysia yang kita sayang ini.

Jumpa lagi,
Aliff Danial

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial