6.18.2011

Kenangan Saya Bersama Sebelanga Air Untuk Bokkas

Salam sejahtera.

Semoga tuan sihat sejahtera dan semoga kehidupan tuan penuh dengan segala kenikmatan dan keberkatan kurniaan Allah dari langit dan bumi. Amin.

Hari ini hari Ahad. Saya ada banyak perkara yang hendak dikongsikan bersama-sama dengan tuan sekalian. Idea datang mencurah-curah bagaikan air hujan. Biasalah tuan-tuan, kadang-kadang ketika tidak ada idea, otak terasa kering kontang bagaikan kemarau di padang pasir yang tandus. Kaktus pun boleh mati.

Hari ini saya mahu berkongsi dengan tuan satu cerita. Cerita ini telah saya baca 20 tahun yang lalu daripada sebuah buku yang bertajuk "Sebelanga Air Untuk Bokkas". Ajaib sungguh! Cerita ini telah saya baca ketika saya berumur sepuluh tahun, tetapi ianya masih kekal di dalam memori saya sehingga ke hari ini.

Sebelanga Air Untuk Bokkas ialah sebuah cerita rakyat Afrika. Tadi, saya cuba bertanya kepada Google tentang buku "Sebelanga Air Untuk Bokkas" tetapi Google menyatakan beliau tidak menemui sebarang maklumat tentang buku ini. Lalu saya mencuba menaipkannya di dalam Bahasa Inggeris. Saya cuba mencari dengan katakunci 'A bucket of water for Bokkas', pun tidak ada jawapannya.

Google dengan baik hatinya telah mencadangkan saya 'A pot of water for Bokkas' dan saya menemuinya! Rupa-rupanya karya "Sebelanga Air Untuk Bokkas" ialah sebuah karya terjemahan. Tetapi, ianya telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada diri saya.

Tuan-tuan tentu teringin hendak tahu apa kaitannya "Sebelanga Air Untuk Bokkas" dengan saya, bukan? Dua puluh tahun yang lalu, saya telah dibesarkan di sebuah kampung terpencil di daerah Tumpat, Kelantan. Tidak perlulah saya menyebutkan nama kampung itu. Biarlah kampung itu kekal damai tanpa ada orang mengenalinya.

Oleh kerana kampung itu terletak agak ke dalam, kerajaan tidak dapat menyalurkan air ke kampung itu. Lalu, dengan inisiatif Kementerian Kesihatan, demi menyediakan bekalan air bersih kepada orang-orang kampung, mereka telah menggali telaga dilengkapi dengan tangki dan paip. Kemudian, setiap 6 bulan, pegawai kesihatan akan datang memeriksa kualiti air untuk memastikan tahap kualiti air berada pada tahap yang membanggakan.

Syukurlah, sehingga kini, penduduk kampung itu masih lagi menggunakan air telaga tersebut dan bayaran bil untuk air tersebut sekitar RM3-RM6 sahaja sebulan. Penduduk-penduduk yang berada di tepi jalan besar pula menikmati air kerajaan tetapi, tarifnya mungkin berbeza. Mungkin lebih mahal.

Itu tidak penting di dalam cerita saya. Ada yang lebih penting dari itu. Pada suatu hari, saya membantu emak menyiram pokok bunga. Selain daripada menyiram bunga, saya juga menyiram tanah supaya tanah sentiasa basah dan kelihatan seperti baharu lepas hujan.

Ketika itu emak berkata, "Aliff, janganlah membazirkan air. Nanti kalau orang lain nampak, tentu mereka marah!"

Tetapi saya pun berkata, "Alah mak, peduli apa orang kata. Bukankah kita membayar bilnya setiap bulan?"

Lalu emak pun berkata, "Aliff, ini bukan soal wang. Kalau kita punya wang sebanyak mana sekalipun, sekiranya air telaga itu kering, wang itu tidak boleh melakukan apa-apa untuk kita, Aliff."

Tiba-tiba saya terdiam. Lalu saya pun pergi menutup pili. Tahukah tuan-tuan mengapa saya tiba-tiba berhenti? Saya berhenti kerana tiba-tiba saya teringatkan cerita "Sebelanga Air Untuk Bokkas".

Pada suatu ketika, di sebuah negara di Afrika, ada seorang budak lelaki yang bernama Bokkas. Pada waktu itu negerinya dilanda kemarau yang teruk. Sehinggakan tidak air walaupun setitik. Sehinggakan embun pun tidak mampu menitis di hujung rumput.

Pada suatu hari, Bokkas yang kecil itu telah bermimpi. Dia bermimpi menemui sebuah telaga air. Apabila dia terjaga dari tidurnya, dia telah pergi menemui penghulu. Tetapi, penghulu tidak mempercayai kata-kata Bokkas.

Tetapi, oleh kerana Bokkas terlalu mendesak, lalu penghulu pun mengambil keputusan untuk melayan kehendak Bokkas. Mereka pun pergilah ke tempat yang dikatakan oleh Bokkas.

Kemudian, penghulu dan orang-orang kampung pun menggali tempat itu. Dengan kehendak Tuhan, di situ membuak-buak air keluar. Lalu bergembiralah orang-orang kampung melihat air itu.

Penghulu berasa sangat gembira. Lalu dia bertanya kepada Bokkas,"Bokkas, apakah hadiah yang kamu mahu daripada kami?"

Lalu Bokkas berkata, "Penghulu, cukuplah air sebelanga untuk saya. Saya teringin benar hendak mandi. Sudah lama saya tidak mandi. Kurniakanlah saya sebelanga air untuk saya mandi. Itu lebih nikmat kepada saya daripada segala hadiah yang lain."

Selepas itu, Bokkas menerima sebelanga air untuk dia mandi dengan nikmatnya. Dia tidak pernah merasa nikmat yang lebih lazat dan sedap melainkan dapat mandi dengan sebelanga air.

Begitulah kisah Bokkas dan sebelanga airnya. Saya berasa sangat terharu dengan kisah ini. Sebab itulah, setiap kali saya keputusan bekalan air, saya akan cuba untuk mandi dengan hanya satu baldi dan menikmatinya seperti mana Bokkas menikmati sebelanga air.

Tuan-tuan, sekarang tentu tuan-tuan sudah nampak kesan pembacaan sebuah buku yang baik dan indah. Ianya kekal di dalam memori dan menjadi secebis daripada berjuta-juta memori yang ada. Pada ketika yang sesuai, ia akan terpanggil dengan sendirinya untuk menyentuh emosi kita.

Bayangkanlah sekiranya anak-anak kita didedahkan dengan beribu-ribu atau berjuta-juta buku. Tentu banyak lagi perkara yang hebat akan berlaku. Jadi, untuk memberikan kesan yang lebih baik kepada anak-anak, carikanlah buku-buku yang bagus untuk mereka. Sekiranya mereka tidak mahu membacanya, bacakanlah kepada mereka.

Tentu tuan juga mempunyai kisah-kisah yang menarik berkenaan buku. Ianya tersimpan kukuh di dalam memori tuan. Saya berdoa semoga memori-memori yang baik dan indah itu akan tersimpan kukuh di dalam khazanahnya.

Baiklah, setakat ini dahulu sampai kita bertemu lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Jumpa lagi,

Aliff Danial

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial