6.09.2011

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Kak Melah

Salam sejahtera.

Alhamdulillah. Malam tadi saya mendapat emel daripada PTS perihal manuskrip saya. Syukurlah, manuskrip "Putera Fariri dan Donat Puteri Salsabila" telah diterima dengan syarat sedikit pembetulan harus dibuat.

Sebenarnya, di dalam dunia penulisan, berita penerimaan merupakan satu berita gembira. Berita penolakan adalah berita yang menyayat hati. Saya berharap dengan terbitnya buku "Putera Fariri dan Donat Puteri Salsabila" kelak akan dapat menggembirakan kanak-kanak yang meminati siri Kisah Putera Fariri. Buku ini memang ditulis untuk kanak-kanak tidak kira laki-laki atau perempuan. Kalau sudah ada di pasaran, saya akan heboh-hebohkan di sini kelak. Nanti ya!

Oh ya, seperti mana yang telah saya janjikan, saya akan ceritakan panduan membelikan buku-buku untuk anak-anak tuan. Oleh kerana blog Aliff Danial ini dikhususkan untuk hal-hal yang berkaitan dengan buku kanak-kanak, eloklah kita takrifkan dahulu apa itu kanak-kanak?

Ada banyak pendapat tentang kanak-kanak. Tetapi, saya memakai pendapat yang mengatakan barangsiapa yang berumur di antara 0-12 tahun dikira sebagai kanak-kanak.Oleh yang demikian, buku-buku yang ditulis untuk golongan ini dikira sebagai Kesusasteraan Kanak-Kanak.

Hendak dijadikan cerita, ada seorang ibu hendak membelikan buku kepada anaknya, namanya ialah Kak Melah (bukan nama sebenar). Selepas Kak Melah membaca entri-entri saya, beliau pun berasa teruja hendak membelikan anaknya buku-buku. Jadi, dengan semangat yang berkobar-kobar, Kak Melah memandu kereta kancilnya menuju ke MPH, Alamanda, Putrajaya.

Kak Melah pun dengan bersemangatnya telah membeli sebakul buku untuk anaknya. Tetapi, sebaik sahaja Kak Melah memberikan buku-buku itu kepada anaknya, beliau terkedu. Apa tidaknya, anaknya melihat buku-buku tersebut seperti tikus melihat besi.

Jadi, apakah kesilapan yang telah dilakukan oleh Kak Melah sebenarnya? Tentu tuan-tuan dapat mengagak!Benar sekali. Kak Melah membeli buku yang tidak sesuai dengan umur anaknya. Sekarang anaknya baharu berumur 3 tahun. Tetapi, beliau telah membelikan buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq!

Sekalipun Kak Melah meminati buku saya, Kak Melah masih belum boleh memberikan buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq kepada anak beliau yang baru berumur tiga tahun jagung itu.

Maka, demi menyelamatkan wang Kak Melah, saya terpanggil untuk membantu beliau. Untuk pengetahuan Kak Melah, secara kasarnya, buku-buku kesusasteraan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada EMPAT KATEGORI mengikut umur.

I. Anak yang berumur 0-3 tahun. (Buku Bergambar Tanpa Tulisan)
II. Anak-anak yang berumur 3-6 tahun. (Buku Banyak Gambar Sedikit Tulisan)
III. Anak-anak yang berumur 6-9 tahun. (Buku Berselang Seli Gambar)
IV. Anak-anak yang berumur 9-12 tahun. (Buku Cerita Bab Demi Bab)

Secara ringkasnya, telah saya simpulkan di atas. Harapnya Kak Melah membaca entri kali ini dan dapatlah menjadi panduan kepada beliau untuk membeli buku kepada anaknya.

Apa? Tuan mahukan penerangan yang lebih terperinci? Boleh saja.

Baiklah, untuk anak-anak yang berumur 0-3 tahun, tuan boleh membelikan mereka buku yang mempunyai gambar-gambar besar. Biasanya buku-buku jenis kadbod sesuailah untuk mereka. Buku-buku kadbod ini keras dan tidak mudah terkoyak. Ianya lebih kepada "buku pertama". Ketika umur begini, fungsi buku bergambar ini hampir menyamai fungsi persembahan slaid (slide show).

Tetapi, tuan mesti ingat satu perkara! Pada peringkat umur 0-3 tahun, anak-anak memerlukan tuan sebagai fasilitator. Mmmm, susah juga saya hendak terangkan konsep fasilitator di sini. Saya cuba menerangkannya dan saya berharap tuan dapat bersabar membacanya, ya.

Sebagai contoh, ketika tuan menunjukkan gambar seekor ayam kepada anak tuan, tuan cubalah membuat bunyi-bunyi seperti ayam sedang berkokok. Kemudian, tuan ulang beberapa kali perkataan "ayam" sehingga anak-anak tuan ingat perkataan "ayam". Dengan kata lain, membaca pada peringkat umur 0-3 tahun lebih kepada mengenali bunyi dan objek.

Bagaimana tuan dapat mengetahui samada anak tuan menyukai atau tidak buku itu? Senang sahaja! Jikalau anak tuan ketawa dan cuba menyebut perkataan "ayam" apabila tuan meniru gaya ayam, itu petanda menunjukkan anak tuan menyukai buku itu. Teruskan berusaha. Jadi, pada peringkat umur begini, tuan mestilah memainkan peranan yang aktif.

Baiklah, kalau anak tuan berumur di antara 3-6 tahun, buku yang sesuai ialah Buku Cerita Bergambar. Plot ceritanya ringkas dan mudah sahaja. Biasanya ketebalan buku lebih kurang dalam 24 sehingga 48 mukasurat. Gambar yang besar, jelas, dan cantik adalah sangat digalakkan. Tulisannya juga seboleh-bolehnya besar dan senang dibaca.

Ketika anak tuan berumur sekitar 3-6 tahun, biasanya mereka masih belum boleh membaca. Tetapi, mereka sudah boleh bercakap dengan petah serta sudah mampu memahami perbualan ringkas.

Oleh kerana mereka belum boleh membaca, biasanya tuan boleh membantu mereka dengan membacakan kepada mereka. Ketika tuan membaca, paling bagus jika dibaca dengan nada berintonasi. Sekiranya anak tuan berkata, "Mama, selepas itu apa yang terjadi?", itu memberikan petunjuk positif. Seandainya tuan membaca secara mendatar, saya khuatir anak tuan tidak akan berminat. Kalau tuan hendak mendapatkan kesan yang lebih baik, bacakan seperti tuan sedang bercerita. Pada tempat-tempat yang memerlukan "kesan bunyi", bunyikanlah.

Untuk anak yang berumur 6-9 tahun pula, biasanya mereka sudah boleh membaca. Mereka lebih suka untuk membaca sendiri. Pada umur sebegini, peranan tuan sudah menjadi kurang, tetapi masih lagi diperlukan. Terutamanya untuk menerangkan beberapa perkataan baharu. Jadi, adalah lebih baik tuan juga membaca di samping mereka. Jadi, mereka dapat terus bertanya kepada tuan jikalau mereka tidak dapat memahaminya. Selain itu, tuan juga dapat memperbaiki bacaan mereka.

Buku jenis manakah yang sesuai untuk mereka? Dari segi mukasurat, carilah buku dengan purata 80-150 mukasurat. Dari segi kandungan pula, seeloknya tulisan yang saiznya masih lagi agak besar. Kalau boleh, pilih buku yang tidak terlalu padat tulisannya. Pada peringkat umur begini, kanak-kanak akan cuba memadankan apa yang dibacanya dengan gambar. Jadi, carilah buku yang mempunyai gambar-gambar. Karya saya, Buku Tiket Bolasepak Untuk Putera Haziq dan buku Putera Fariri dan Buku Resepi Ajaib termasuk di dalam kategori ini.

Untuk anak-anak yang berumur 9-12 tahun, biasanya suka membaca buku yang sudah agak tebal. Biasanya 150-250 mukasurat adalah biasa. Gambar sekeping dua atau tiada langsung pun sudah tidak menjadi masalah kepada mereka. Tetapi, buku yang dibeli mestilah masih lagi di dalam mood kanak-kanak. Biasanya buku-buku misteri menjadi pilihan kanak-kanak lelaki dan kisah-kisah sekolah untuk kanak-kanak perempuan.

Pada umur 9-12 tahun, tuan tidak perlu lagi mendampingi mereka kerana mereka biasanya suka membaca secara menyendiri. Senyum sendiri, ketawa sendiri, sedih sendiri dan macam-macam lagi. Tugas tuan-tuan ketika ini hanyalah memastikan buku yang dibaca adalah selamat untuk mereka hadam.

Saya berharap, entri kali ini dapat membantu tuan-tuan termasuklah Kak Melah kita itu. Oh ya, kalau kita perhatikan, umur yang paling penting untuk tuan-tuan berikan perhatian ialah dari 0-9 tahun. Selepas 9 tahun, biasanya mereka akan mempunyai momentum sendiri untuk teruskan pembacaan.

Jadi, sekiranya tuan-tuan tidak melakukan langkah-langkah yang sesuai pada umur anak-anak tuan 0-9 tahun, saya khuatir tuan akan terlambat! Nanti karang, puas dan lenguh mulut tuan-tuan membebel, tetapi anak tuan buat-buat tidak mendengarnya.

Oleh yang demikian, sebelum kita terlambat dan terlewat, demi masa depan anak-anak kita, laburkanlah masa, tenaga dan sedikit wang untuk menanam minat membaca buku kepada anak-anak kita.

Nampaknya sudah panjang lebar saya menulis di sini. Saya rasa eloklah saya berhenti dahulu. Esok-esok saya poskan entri yang baharu. Mungkin saya akan bercerita tentang pengaruh pembacaan pada otak kanak-kanak yang berumur 0-9 tahun. Jangan lepaskan entri yang akan datang ya!

Ingat! Setiap kanak-kanak ada ceritanya!

Jumpa lagi,

Aliff Danial

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial