6.14.2011

Siapa Ain Maisarah dan Najwa Latiff?

Salam sejahtera.

Saya telah berjanji kepada tuan-tuan hendak menulis tentang kesan pembacaan ke atas neuron-neuron otak anak-anak kita. Tetapi, terpaksalah saya menangguhkan entri itu kerana kerja kajigali maklumat-maklumat yang berkenaan belum siap sepenuhnya. Kalau saya hendak menunggu kerja kajigali tersebut siap sempurna, nescaya bersawanglah blog Aliff Danial kita ini.

Kenapa tiba-tiba Aliff Danial mengemukakan tajuk seperti ini? Hendak menumpang kemasyhuran orangkah? Bukan begitu, dong! Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan tuan-tuan sesuatu kebaikan dari bintang-bintang yang sedang bersinar-sinar di bumi.

Tiba-tiba saya teringatkan sebuah lagu jepun kegemaran saya. Baiklah, mari saya terjemahkan maknanya untuk tuan-tuan:

Mengapakah kita,
sering mendongak ke langit,
hendak melihat bintang yang jauh?
sehingga kita lupa,
di Bumi juga ada bintang.
Wahai walit,
bawalah aku terbang ke langit,
supaya aku dapat melihat,
bintang yang bersinar di Bumi.

Begitulah lebih kurang maknanya. Sekiranya lari sedikit sebanyak, haraplah dimaafkan ya.

Ain Maisarah dan Najwa Latiff adalah antara Bintang Bumi yang sedang bersinar-sinar cemerlang di tanah air kita, Malaysia tercinta. Seorang penulis muda, dan seorang lagi penyanyi muda. Mereka berdua mempunyai satu persamaan, iaitu berkarya untuk muda remaja.

Baiklah, saya ceritakan tentang penulis Ain Maisarah dahulu. Kalau Ain Maisarah membaca entri ini, harapnya beliau akan merasa bangga ya. Hendak tahu sebab apa? Sebabnya, saya sendiri membaca karya Ain Maisarah.

Pada mulanya saya berasa skeptikal dengan karya Ain Maisarah. Apakah sebab apakah musabab sampaikan anak-anak remaja dari umur 9-12 tahun, sehinggalah yang berumur 15 tahun menggilai karya Ain Maisarah? Jadi, perasaan ingin tahu yang membuak-buak itu menyebabkan saya telah membeli karya Ain Maisarah secara senyap-senyap.

Kalau isteri saya tahu, tentu dia akan mengata kepada saya. Abang sudah buang tabiat kah? Selalunya abang beli buku-buku akademik. Buku remaja pun abang hendak beli? Memang saya selalu membeli buku. Boleh dikatakan, setiap bulan dua tiga buah buku saya beli.Setelah itu, saya pun membaca buku tersebut.

Ajaibnya, tanpa saya sedar, saya telah membaca sehingga ke kulit belakang. Pandai Ain Maisarah. Beliau telah berjaya memperdayakan saya. Perasaan ingin tahu membuak-buak setiap kali habis satu bab. Jadi, terpaksalah saya membaca bab yang seterusnya.

Tuan-tuan tahukah kekuatan Hang Tuah? Kata P. Ramlee, kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf TA. Kekuatan Ain Maisarah pula? Kalau mengikut kajian saya, ianya terletak pada bahasa dan plot ceritanya. Kekuatan utamanya ialah bahasa yang beliau gunakan.

Tidak percaya kata-kata saya? Beli dan bacalah sendiri! Seni bahasa yang beliau gunakan terasa sedap didengar dan dibaca. Saya berasa terpesona dengan penggunaan bahasa tersebut. Jadi, saya sangatlah mencadangkan agar tuan-tuan mendapatkan karya Ain Maisarah untuk anak-anak tuan yang berumur di antara 9-15 tahun. Opss, umur saya sudah terkeluar daripada julat tersebut. Maafkan saya!

Jadi, apa kaitan pula dengan Najwa Latiff? Haa, mari saya cerita. Selepas saya melihat dokumentasi di TV3 tentang Najwa Latiff, saya terus bertanya kepada Google tentang beliau. Saya telah menemui karya asli beliau yang berjudul "Cinta Muka Buku". Suara beliau sedap didengar dan tidak membisingkan.

Tahukah tuan-tuan, sebab apakah lagu beliau begitu sedap dan memukau ramai pendengar? Pendengar online sudah mencecah ratus ribu, tuan-tuan. Kalau tuan-tuan hendak tahu, perhatikanlah bahasa yang digunakan untuk mencipta senikatanya. Ada seni bahasa di situ.

Jadi, tatkala saya mendengar lagu Cinta Muka Buku, karya asli Najwa Latiff, saya terus terdetik hendak menulis entri ini. Memang benarlah kata-kata orang tua:

Yang kurik itu kundi,
yang merah itu saga,
yang cantik itu budi,
yang indah itu bahasa.

Tengok, betapa berkuasanya bahasa di dalam kehidupan harian kita. Jadi, gunakanlah bahasa yang baik dan indah-indah di dalam kehidupan kita.

Aliff, bagaimana hendak belajar menggunakan bahasa yang baik? Bacalah buku-buku yang dikarang indah seperti buku-buku Ain Maisarah.

Percayalah kata saya, sekiranya anak-anak tuan yang berumur 9-15 tahun membaca buku-buku yang mengandungi bahasa-bahasa yang baik dan indah, inshaallah karangan bahasa Melayu anak-anak tuan akan bertambah bagus. Cikgu-cikgu bahasa Melayu pun akan merasa gembira.

Sekian sahaja entri kali ini. Sehingga berjumpa lagi.

Ingat ya, setiap kanak-kanak ada ceritanya.

Jumpa lagi,
Aliff Danial

2 comments:

  1. Tuan Aliff Danial,

    Terima kasih yang tidak terhingga atas coretan blog berkenaan diri saya. Harapnya akan berpeluang bertemu Tuan dan bertukar-tukar idea.

    Tuan juga seringkali dipuji Puan Ainon kerana bijak menulis buku kanak-kanak =) Saya mahu berguru dengan Tuan bagi memasuki pasaran buku kanak-kanak, InsyaAllah.

    Semoga kita terus diberikan curahan ilham dan keluasan masa bagi meneruskan penulisan masing-masing. Amin.

    ReplyDelete
  2. Puan Ain Maisarah,

    Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Puan Ain kerana telah menjadi sumber inspirasi saya untuk menulis.

    Saya juga mendoakan agar Puan Ain terus berjaya dengan cemerlangnya di dalam industri penulisan.

    Marilah kita bersama-sama memeriahkan lagi industri kesusasteraan kanak-kanak.

    Sampaikan salam saya juga kepada Tuan Pengurus Ain Maisarah.

    yang benar,
    Aliff Danial

    ReplyDelete

TERIMA KASIH DARIPADA ALIFF DANIAL

Anak-anak yang genius lahir dari kalangan anak-anak yang suka membaca. Mereka membaca buku-buku akademik, dan buku-buku yang mengembangkan daya imaginasi. Daya imaginasi yang tinggi dibantu oleh pembacaan buku-buku yang baik dan bermutu samada dari segi penceritaan dan bahasanya - Aliff Danial